Jurutera tersilap gantikan meter air Syabas, penggunaan dibayar sepenuhnya, kata Top Glove | DagangNews Skip to main content

Jurutera tersilap gantikan meter air Syabas, penggunaan dibayar sepenuhnya, kata Top Glove

KUALA LUMPUR 31 Mei - Top Glove Bhd berkata juruteranya telah tersilap menggantikan meter air Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dengan meter air digital syarikat itu pada 11 April, 2019.

 

Syarikat itu dalam kenyataannya berkata, bagaimanapun, ia telah bertindak segera selepas dimaklumkan mengenai perkara itu dengan memasang semula meter air Syabas pada 28 Mei 2019. 

 

“Syarikat juga telah membayar sepenuhnya jumlah tersebut iaitu kira-kira RM56,000, yang mana RM52,000 merupakan anggaran penggunaan selama 47 hari, berdasarkan pengiraan Air Selangor,” katanya bagi menjawab kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengenai perkara itu pada 30 Mei.

 

Katanya beberapa kilang Top Glove telah berjaya memasang meter air digital untuk memantau penggunaan air dalam masa nyata untuk tujuan pendigitalan dan automasi sistem perakaman.

 

“Syarikat ingin menjelaskan bahawa tindakan itu adalah sebahagian daripada inisiatif pendigitalan dan perkara tersebut telah diselesaikan,” katanya. - DagangNews.com