Jumlah penduduk Malaysia diberhentikan kerja melonjak lebih 18% pada Feb 2024 - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jumlah penduduk Malaysia diberhentikan kerja melonjak lebih 18% pada Feb 2024 - Maybank IB

Godyear Malaysia bakal memberhentikan lebih 500 pekerjanya susulan penutupan kilang di Shah Alam tidak lama lagi./Gambar hiasan
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 11 Mac - Data pemberhentian pekerjaan untuk Februari 2024 menunjukkan peningkatan sebanyak 18.3% berbanding bulan yang sama tahun lalu, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Jelas firma penyelidikan itu, pada bulan lalu seramai 3,654 orang diberhentikan kerja - berdasarkan jumlah mereka yang mentuntut Sistem Insurans pekerjaan (EIS), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

 

Dari segi perbandingan bulan ke bulan, jumlah yang diberhentikan kerja pada bulan Februari 2024 adalah 36.8% lebih rendah berbanding Januari 2024 (5,779 orang).

 

Bagaimanapun jika berbanding Januari 2023, data pemberhentian pekerja yang direkodkan pada Januari 2024 adalah 43% lebih tinggi atau peningkatan 25% dari segi perbandingan bulan ke bulan.

 

Keseluruhannya, jumlah mereka yang terlibat dengan pemberhentian pekerjaan bagi Januari dan Februari 2024 yang seramai 9,433 orang adalah 32.3% lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu (7,131).

 

Pada tahun 2023, seramai 49,982 menuntut EIS setelah terlibat dalam pemberhentian kerja iaitu 45.6% lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

 

"Walaupun kadar pengangguran bulanan kembali ke tahap pra-pandemik, data pemberhentian pekerja terkini untuk Februari 2024 menunjukkan kenaikan 18.3 YoY dan -36.8% MoM jatuh kepada 3,654 pada Feb 2024," kata firma penyelidikan itu dalam nota kajian hari ini.

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kadar pengangguran Jan 2024 kekal 3.3%, kategori bekerja sendiri terus meningkat - DOSM

 

ARTIKEL BERKAITAN: Goodyear Malaysia tutup kilang di Shah Alam, lebih 500 pekerja bakal diberhentikan

 

Sementara itu, kata Maybank IB, Statistiks Indeks Buruh Januari 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) juga menunjukkan segmen pekerja tidak formal dalam ekonomi telah berada dalam aliran meningkat sejak Januari 2021.

 

Katanya, pada Januari 2021 kategori bekerja sendiri merekodkan 2.39 juta orang dan mencapai kemuncak baharu 3.01 juta pada Januari 2024 (Dis 2023: 3.0 juta).

 

"Pekerja Akaun Sendiri" merujuk mereka yang berpendapatan harian dengan bekerja sebagai peniaga kecil, penjaja, pengusaha gerai makanan serta pekebun kecil, pekerja sendiri dan pekerja gig," jelasnya.

 

Data guna tenaga buruh DOSM juga menunjukkan kadar pengangguran dalam kalangan belia kekal dan bagi tahun 2024, Maybank IB mengunjukan kadar pengangguran berada 3.4%. - DagangNews.com