KUALA LUMPUR 10 Jun - Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia berkembang 13.2% kepada RM147.9 bilion pada April 2022 berbanding bulan yang sama pada 2021, menurut Jabatan Perangkaan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan nilai jualan pada April 2022 adalah dipacu oleh subsektor produk peralatan elektrik dan elektronik (21.9%), terutamanya dalam industri pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal.
Katanya, pengembangan ini turut didorong oleh subsektor produk makanan, minuman dan tembakau (14.9%) yang disokong oleh industri pembuatan produk makanan dan subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik (6.7%) terutama dalam industri pembuatan kok dan produk petroleum bertapis.
"Nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport yang menyumbang sebanyak 72.4% daripada jumlah nilai jualan merekodkan peningkatan 14.5% manakala industri berorientasikan domestik mencatatkan kenaikan 10% pada April 2022 berbanding bulan yang sama pada 2021.
"Pertumbuhan nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport adalah selari dengan trend eksport perdagangan luar negeri serta faktor harga yang kekal memberangsangkan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport dan domestik masing-masing meningkat 2.6% dan 1.6%.
Jumlah pekerja sektor pembuatan pada April 2022 adalah seramai 2.29 juta orang, meningkat 2.5% berbanding 2.23 juta orang pada April 2021.
“Peningkatan ini disumbangkan oleh produk peralatan elektrik dan elektronik (5.2%), produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (3%) dan produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (2.7%),” katanya.
Jumlah gaji dan upah yang dibayar berjumlah RM7.71 bilion, meningkat 4.5 peratus atau RM329.2 juta pada April 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Di samping itu, nilai jualan per pekerja menokok 10.4% kepada RM64,562 berbanding bulan yang sama pada 2021 (April 2021: RM58,454).
Sementara itu, purata gaji dan upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,367 pada April 2022. - DagangNews.com








