Jualan Proton kembali pulih, catat peningkatan 107% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jualan Proton kembali pulih, catat peningkatan 107%

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 3 Mac - Jualan pengeluar kereta nasional, Proton kembali pulih dengan peningkatan sebanyak 107% dengan jualan 9,225 unit (domestik + eksport) pada bulan lepas.

 

Proton dalam satu kenyataan memaklumkan, ia membolehkan syarikat menuntut semula kedudukan kedua dalam pasaran dan meletakkannya kembali di landasan untuk memulihkan kehilangan jualan dari bulan Januari.

 

Jelasnya, pegangan pasaran domestik Proton untuk bulan lepas dianggarkan pada 20.2%, manakala untuk dua bulan pertama tahun ini, pegangan pasaran terkumpul dianggarkan pada 15.9%. 

 

"Bagi pasaran automotif secara amnya, Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) bagi tahun ini dianggarkan meningkat sebanyak 11.4% berbanding dua bulan pertama 2021. Dengan penyambungan pengeluaran secara sepenuhnya di Shah Alam dan Tanjung Malim, terdapat peningkatan ketara dalam jumlah jualan Proton secara keseluruhan. 

 

"Proton Saga mencapai 2,951 unit pada bulan lepas, walaupun kurang daripada purata bulanan biasa, angka itu dijangka kembali ke tahap sebelumnya dalam beberapa bulan akan datang. Proton X50 dan X70 menutup tirai Februari dengan jualan sebanyak 3,002 dan 1,119 unit, yang membolehkan kedua-duanya mengekalkan pegangan mereka di tempat pertama dalam segmen masing-masing. 

 

"Proton X50 juga merupakan SUV paling laris dalam negara dan telah menarik lebih 100,000 unit tempahan dalam masa 16 bulan sahaja," katanya.

 

 

proton
Cawangan 3S/4S Proton yang ke-147 telah dibuka secara rasmi di Alor Setar, Kedah baru-baru ini dan merupakan cawangan ke-10 untuk EON

 

 

Jelas kenyataan itu, Proton Exora juga kembali ke tempat pertama dalam MPV segmen C, manakala terdapat peningkatan yang besar untuk Proton Iriz dan Proton Persona di mana mereka menamatkan bulan ini di kedudukan ke-4 dan ke-2 dalam segmen masing-masing.

 

"Walaupun jualan domestik masih menjejaki volum tahun lepas, jualan eksport semakin meningkat dan telah bertambah sebanyak 72.8% pada tahun 2022. Untuk dua bulan pertama tahun ini, sebanyak 323 unit pelbagai kereta Proton telah dijual dalam pasaran eksport berbanding hanya 187 unit dijual pada tahun 2021," katanya.

 

 

proton

 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, keupayaan syarikat untuk mengeluarkan lebih banyak kereta merupakan punca utama bagi pemulihan jualan bulan lepas. 

 

"Ini hanya dapat dicapai melalui usaha bersama yang cemerlang daripada vendor kami dan kakitangan Proton, yang bekerja bertungkus lumus untuk mengembalikan kami ke landasan yang betul. Syukurlah, buku tempahan kami kekal sihat, dan kami yakin boleh mencapai sasaran kami untuk tahun ini," katanya.

 

Beliau berkata, dengan mempunyai bilangan cawangan 3S/4S yang tertinggi dalam industri, syarikat juga mengambil langkah untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan selepas jualan untuk pelanggannya.

 

 

proton

 

 

"Kami mengambil serius setiap aduan yang diterima dan pihak pengurusan telah mengenalpasti beberapa kekurangan dan isu operasi yang memerlukan pembaikan. Langkah pertama adalah menangani ketersediaan alat ganti dan kami telah melaksanakan peraturan mandatori di mana semua pengedar dikehendaki memegang stok tiga bulan untuk 22 alat ganti permintaan tinggi," katanya.

 

Katanya, pusat alat ganti tertakluk kepada peraturan yang sama dan syarikat berharap ia akan mengurangkan masa menunggu pelanggan. 

 

"Kami juga memperkukuhkan keupayaan dan pengetahuan pengedar kami untuk menyediakan perkhidmatan selepas jualan yang cemerlang kepada semua pelanggan Proton. Masih banyak lagi yang perlu dilakukan tetapi kami akan memaklumkan perkembangan kami sepanjang tahun ini,” katanya. - DagangNews.com