KUALA LUMPUR 13 Mac - Kumpulan UMW mengekalkan momentum jualan pada Februari dengan berjaya menjual sebanyak 34,233 unit kenderaan, 44 peratus lebih tinggi daripada 23,853 unit yang didaftarkan pada bulan yang sama tahun lalu.
Ia didorong oleh kedua-dua UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutu UMW, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) yang berjaya memenuhi tempahan memberangsangkan.
Kumpulan itu, dalam satu kenyataan berkata, jualan UMWT meningkat kepada 9,297 unit pada Februari 2023 iaitu 45% lebih tinggi daripada 6,432 unit yang dihantar pada Februari 2022.
Ia juga 37% lebih tinggi daripada 6,786 unit yang didaftarkan pada Januari 2023, kata kumpulan itu.
“Bagi dua bulan pertama 2023, UMWT mencatatkan 16,083 unit, pertumbuhan 15% berbanding 13,960 unit yang didaftarkan pada tempoh yang sama 2022, katanya.
“UMWT menjangkakan permintaan dan jualan akan dikekalkan sepanjang tahun, disokong oleh pengenalan model baharu dan facelift,” kata kenyataan itu.
UMWT pada 17 Februari lalu, melancarkan GR Supra, GR 86, GR Corolla, Corolla Cross GR Sport, serta Hilux GR Sport dan bagi mengukuhkan lagi kedudukan pasarannya, UMWT telah memulakan pengambilan pesanan untuk Toyota Vios serba baharu pada 24 Feb.
UMW berkata, jualan Perodua terus menunjukkan trajektori menaik pada Februari 2023 dengan penghantaran sebanyak 24,936 unit, 43% lebih tinggi daripada 17,421 unit yang didaftarkan pada Februari 2022 serta 16% lebih tinggi daripada 21,449 unit yang didaftarkan pada Januari 2023.
Bagi dua bulan pertama 2023, tambahnya, Perodua menyampaikan 46,385 unit, pertumbuhan 33% berbanding 34,865 unit yang didaftarkan pada tempoh yang sama 2022.
“Dengan permintaan yang bertambah baik, Perodua telah menetapkan sasaran jualan yang lebih tinggi sebanyak 314,000 unit untuk 2023, pertumbuhan 11% berbanding 2022,” kata kumpulan itu.
Jualan yang lebih tinggi akan dipacu oleh Perodua Axia 2023 serba baharu yang dilancarkan pada 14 Feb 2023, tambahnya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Bhd, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, kumpulan itu optimistik dengan berhati-hati bahawa industri automotif akan terus menunjukkan prestasi yang baik pada 2023.
Menurutnya, ia berdasarkan jualan dan tempahan yang menggalakkan. - DagangNews.com








