Jualan kenderaan terima kesan akibat pemotongan subsidi, segmen M40 diramal paling terjejas - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Jualan kenderaan terima kesan akibat pemotongan subsidi, segmen M40 diramal paling terjejas - RHB Investment

Jualan kenderaan dijangka merudum pada suku tahun berikutnya akibat beberapa faktor termasuk inflasi. /Gambar hiasan Sime Darby
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 6 Mei - Kesan daripada pemotongan subsidi bahan api kepada sektor automotif akan dapat dilihat khususnya pada segmen pasaran pertengahan, kata RHB Invesment Bank (RHB Investment).

 

Menurut firma penyelidikan itu, hal ini kerana kumpulan berpendapatan rendah masih dijangka menerima subsidi manakala golongan berpendapatan tinggi mungkin tidak begitu terkesan oleh penarikan subsidi.

 

"Sentimen keseluruhan terhadap sektor automotif masih hambar ketika ini disebabkan oleh ketidaktentuan yang timbul daripada langkah pemotongan subsidi bahan api," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

RHB Invesment berkata, namun begitu, pihaknya positif akan semakan gaji untuk penjawat awam, kerana kenaikan melebihi 13% yang diberi cukup untuk menarik para pengguna untuk membuat perbelanjaan besar. 

 

"Biarpun begitu, tiada pindaan dibuat pada andaian perolehan kami buat masa ini, kerana sentimen keseluruhan terhadap sektor ini masih hambar disebabkan oleh ketidaktentuan yang timbul daripada langkah pewajaran subsidi.

 

Sementara itu, kata firma itu, kadar kelulusan pinjaman untuk pembelian kenderaan YTD-2024 pula mencecah 58% berbanding 62-63% pada 2022-2023, sedangkan sedangkan pinjaman kasar buat pembelian kereta hanya menokok 2.7%, walaupun jualan kenderaan (TIV) menaik 5%. 

 

Jelas RHB Investment, hal ini mungkin menunjukkan syarat kelayakan untuk pemberian pinjaman sudah diperketat, di samping pengguna mula beralih kepada kenderaan yang lebih berpatutan harganya. 

 

"Diburukkan lagi oleh tekanan inflasi yang terus meninggi, jualan kereta dipercayai akan terus merudum pada suku-suku mendatang apabila jumlah jualan kereta kembali ke paras biasa selepas tempoh pecah rekod tahun lalu. 

 

"Untuk 2Q24, kami selalunya meramalkan TIV semakin melemah QoQ susulan cuti perayaan Aidil Fitri dan penutupan sementara operasi kilang oleh syarikat pengeluar utama untuk tujuan penyenggaraan," jelasnya.

 

RHB Investment dalam nota itu juga yakin paras TIV sekarang tidak mampu dikekalkan berikutan kurangnya faktor pendorong untuk mencapai paras jualan baharu selepas memecah rekod jualan selama dua tahun. 

 

"Maka, ramalan TIV dan wajaran sektor NEUTRAL kami dikekalkan untuk masa sekarang. Kami lebih menyukai sahamsaham automotif yang bernilai murah selain yang turut memaparkan pertumbuhan perolehan kukuh yang jelas. 

 

"Bermaz AUTO dipilih sebagai Syarikat Utama kami kali ini," katanya.- DagangNews.com