Jualan iklan lemah pengaruhi prospek Media Prima, CGS-CIMB turunkan penarafan kepada 'pegang' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jualan iklan lemah pengaruhi prospek Media Prima, CGS-CIMB turunkan penarafan kepada 'pegang'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 23 Feb - CGS-CIMB Research menyemak turun penarafan Media Prima Bhd. kepada 'pegang' daripada 'tambah' sebelum ini ekoran momentum pasaran iklan yang semakin suram manakala sebarang usaha niaga baharu memerlukan tempoh masa tertentu sebelum memberi pulangan hasil. 

 

Malah, harga sasarannya juga diturunkan kepada 42 sen daripada 49 sen memandangkan kumpulan masih bergelut dengan jualan pengiklanan terutamanya menerusi platform televisyen.

 

Jualan iklan Media Prima bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) jauh berada di bawah unjuran pertumbuhan tahun ke tahun CGS-CIMB, mengheret turun keuntungan bersih terasnya kepada 81% daripada ramalan firma dan 102% unjuran konsensus.

 

Dalam taklimat bersama penganalisis selepas mengumumkan prestasi kewangan FY22 semalam, firma itu berkata, Media Prima melihat pengiklan kekal berhati-hati untuk mengeluarkan perbelanjaan setakat ini sejak Bajet 2023, yang sepatutnya menetapkan nada kepada ekonomi Malaysia, hanya akan dibentangkan pada 24 Februari (esok).

 

Kumpulan itu juga telah mula menjual siaran yang mempunyai logo program TV popularnya, Nona dalam usaha untuk memanfaatkan lagi harta inteleknya dan menjana margin jualan yang lebih besar.

 

"Satu perkara yang kami bimbangkan ialah keputusan Media Prima untuk melancarkan semula perkhidmatan penstriman Tonton, dengan kedua-dua peringkat yang disokong iklan dan premium.

 

"Tetapi, kumpulan itu berkata ia menjadi lebih selektif dengan kandungan yang hendak dijual kepada perkhidmatan penstriman pihak ketiga, berisiko memperlahankan perniagaan jualan kandungannya yang menguntungkan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : Segmen pengiklanan catat hasil lebih rendah jejaskan untung bersih Media Prima, susut kepada RM22.85 juta pada suku keempat

 

Bagaimanapun, menurut CGS-CIMB, untuk bersikap adil, penstriman antarabangsa juga mula mengurangkan kos apabila pasaran bergabung.

 

"Platform Tonton - Media Prima, pada pandangan kami, boleh membantu menambah pendapatan kumpulan jika langkah penjimatan perkhidmatan penstriman antarabangsa berubah menjadi kekal," jelasnya.

 

Untung bersih Media Prima bagi suku berakhir 31 Disember 2022 susut 21% kepada RM22.85 juta berbanding RM28.94 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, disebabkan penurunan hasil bagi segmen pengiklanan dan membeli-belah di rumah. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu juga susut 20% kepada RM252.67 juta daripada RM315.9 juta pada tempoh sama tahun kewangan 2021. 

 

Untuk tempoh kumulatif 12 bulan, untung bersih syarikat media gergasi itu susut 6.1% kepada RM51.86 juta daripada RM55.23 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan susut 11% kepada RM997.88 juta daripada RM1.12 bilion.

 

Setakat 10.10 pagi, harga saham Media Prima susut 0.5 sen atau 1.11% kepada 44.5 sen dengan 47,700 saham diniagakan. - DagangNews.com