Johor Plantations sasar tanam sejuta pokok dalam tempoh 10 tahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Johor Plantations sasar tanam sejuta pokok dalam tempoh 10 tahun

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Jun - Johor Plantations Bhd komited untuk menyasarkan menanam sebanyak sejuta pokok dalam tempoh 10 tahun akan datang bagi membantu memulihara alam sekitar.

 

Pengarah Urusannya, Mohd Faris Adli Shukery berkata, melalui usaha tersebut, pihaknya meningkatkan kesedaran tentang kepentingan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan kemampanan kepada Johor Plantations.

 

Katanya, bagi memastikan kejayaan kempen ini, pihaknya telah bekerjasama dengan Persatuan Pencinta Alam Malaysia dan Perbadanan Taman Negara Johor untuk meluaskan rangkaian dan memudahkan pertukaran kepakaran antara pihak. 

 

"Ini juga mempamerkan komitmen bersama mereka terhadap pemuliharaan alam sekitar serta bertindak berkaitan alam semula jadi yang diperlukan. 

 

"Johor Plantations juga berhasrat untuk bekerjasama dengan organisasi awam dan swasta untuk menjadi sebahagian daripada kempen tersebut," katanya dalam kenyataan.

 

Terdahulu, Johor Plantations melancarkan kempen penanaman pokok 'One Million Roots for the Future' di Taman Negara Johor, Tanjung Piai, baru-baru ini.

 

Pada acara tersebut, sejumlah 300 anak pokok bakau ditanam oleh 60 kakitangan Johor Plantations sebagai pengiktirafan sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia baru-baru ini. 

 

 

johor plantations

 

 

Kempen itu merupakan pelopor kepada Sidang Kemuncak Kelestarian Selatan Johor Plantations yang akan diadakan pada Julai ini, yang menandakan satu langkah penting ke arah komitmen untuk mempromosikan kelestarian alam sekitar dan pengawasan aktif sumber asli. - DagangNews.com