JLand, Mitsui jalin kerjasama bangunkan Pusat Data Hiperskala dan Ladang Solar Kegunaan Sendiri di Sedenak | DagangNews Skip to main content

JLand, Mitsui jalin kerjasama bangunkan Pusat Data Hiperskala dan Ladang Solar Kegunaan Sendiri di Sedenak

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Dis - Anak syarikat Johor Corporation (JCorp), JLand Group Sdn Bhd menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Mitsui & Co., Ltd. bagi meneroka peluang perniagaan serta membangunkan projek-projek strategik di Ibrahim Technopolis.

 

Ia merangkumi Taman Teknologi Sedenak (STeP), dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang. 

 

JLand dan Mitsui akan menjalankan kajian boleh laksana secara bersama mengenai pembangunan Pusat Data Hiperskala, dan juga kemudahan tenaga boleh diperbaharui (RE) dalam bentuk Ladang Solar Kegunaan Sendiri untuk membekalkan kuasa kepada pusat-pusat data di Taman Teknologi Sedenak. 

 

Setelah kajian disempurnakan, JLG dan Mitsui dan para pemaju bersama projek akan menubuhkan sebuah usaha sama (JV) untuk melabur, membangunkan dan mengendalikan projek-projek tersebut. 

 

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp dan Pengerusi JLand, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata, kerjasama strategik itu merupakan bukti daya maju projek-projek berpandukan kelestarian dan tumpuan khusus bagi membolehkan syarikat-syarikat korporat memenuhi matlamat ESG. 

 

Beliau berkata, dalam ekonomi digital yang semakin bergantung kepada data, mereka proaktif untuk mengenal pasti dan mengguna pakai sumber tenaga boleh diperbaharui dalam usaha mengurangkan penghasilan karbon pusat-pusat data pada masa depan. 

 

"Inisiatif ini menandakan salah satu mercu jaya penting dalam wawasan JCorp untuk membina masa depan lestari, sambil memastikan negeri dan negara kita memenuhi aspirasi nyahkarbon," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Majlis itu turut disaksikan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

 

Menerusi kerjasama strategik ini, STeP iaitu sebuah pusat data utama seluas 283.2 hektar akan menarik penyertaan pusat-pusat data skala hiper global, bukan sahaja dengan menawarkan bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui pada masa depan, tetapi  juga menyediakan pakej sokongan menyeluruh termasuk pembiayaan projek hijau kompetitif daripada pasaran. 

 

Langkah itu juga akan membuka peluang-peluang menarik bagi pelanggan serantau yang mahu mengguna pakai pusat data hijau untuk memenuhi keperluan mereka. 

 

Kerjasama ini juga melibatkan peserta industri lain, yang menyumbang kepada kepakaran sektor dan pemindahan ilmu menerusi fasa pelaburan, reka bentuk, pembangunan dan penyenggaraan projek. - DagangNews.com