KUALA LUMPUR 11 April - JLand Group Sdn Bhd (JLG) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat penyedia penyelesaian tenaga bersih, Gentari Sdn Bhd dalam usaha untuk menyepadukan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui (RE) dan mobiliti hijau.
JLG dalam kenyataan hari ini berkata, kerjasama strategik ini bertujuan membangunkan ekosistem mesra alam meliputi semua projek kediaman, komersial dan perindustrian JLG.
Katanya, JLG dan Gentari akan melaksanakan kajian terhadap penyepaduan penyelesaian RE Gentari bagi aset dan taman perindustrian strategik di bawah JLG, manakala pelaksanaan ekosistem mobiliti hijau dalam projek yang dipilih JLG akan bermula pada suku ketiga 2023.
Menurut , Pengarah Bahagian Hartanah dan Infrastruktur Johor Corporation (JCorp), Datuk Akmal Ahmad, kerjasama dengan Gentari menandakan satu mercu jaya penting dalam usaha melaksanakan inisiatif penyahkarbonan dan meningkatkan keupayaan dalam sektor RE.
"Menerusi usaha sama dengan Gentari, kami kini bersedia memenuhi komitmen kami ke arah pertumbuhan lestari.
"Penggunaan meluas ekosistem mobiliti hijau dan RE meliputi pembangunan utama kami seperti Menara JLand, Komtar JBCC, B5 Johor Street Market (Pasar Batu 5), Ibrahim International Business District (IIBD) dan Bandar Dato’ Onn (BDO), memperlihatkan keupayaan dan potensi kerjasama ini untuk menjana nilai, dengan mengambil kira bilangan pengguna akhir yang wujud di seluruh entiti operasi kami," katanya.
Terdahulu, pada majlis tandatangan tersebut, JLG diwakili oleh Akmal yang juga Timbalan Pengerusi JLG, manakala Gentari diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sushil Purohit, yang turut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh; Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JCorp, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim.
Akmal berkata, sebagai sebahagian daripada kerjasama, JLG dan Gentari juga akan meneroka potensi pembinaan sebuah hab pengecasan (EV) di Ibrahim Technopolis (IBTEC) dan penyelesaian RE bagi taman-taman perindustrian JLG.
"Dengan penggunaan penyelesaian RE dan infrastruktur mobiliti hijau di hartanah dan taman perindustrian JLG, kami mempercepatkan peralihan kepada tenaga hijau menerusi pendekatan berbilang industri.
"Langkah ini adalah amat penting, terutamanya dengan kehadiran dan operasi meluas JLG di Johor, sambil kami berusaha meningkatkan kecekapan tenaga taman-taman perindustrian dan juga para penyewanya," katanya.
Sushil pula berkata, usaha ke arah mencapai sasaran pengeluaran karbon bersih sifar di Malaysia memerlukan penglibatan seluruh masyarakat.
Katanya, sebagai sebuah syarikat tenaga bersih yang memberi tumpuan membekalkan penyelesaian yang diperlukan untuk menjana tenaga lebih bersih, Gentari ingin bekerjasama dengan syarikat terkemuka dengan portfolio yang luas dan terpelbagai seperti JLand Group, untuk membolehkan pelaksanaan penyelesaian bersepadu yang cekap.
"Bersama JLand Group, kami dapat meneroka inisiatif secara serentak di bawah tunggak teras kami, iaitu Tenaga Boleh Diperbaharui, Hidrogen dan Mobiliti Hijau di seluruh rantaian nilai elektron dalam usaha mencapai matlamat karbon bersih sifar," katanya.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, Gentari akan menyediakan kemudahan kenderaan sebagai perkhidmatan (VaaS) dalam bentuk perkhidmatan langganan pengangkutan hijau di pembangunan kediaman, komersial dan perindustrian JLG, demi menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik (EV).
Dengan memperkenalkan khidmat langganan kenderaan EV menerusi Gentari, JLG bertekad menggiatkan peralihan kepada EV menerusi pelaburan kos rendah. - DagangNews.com








