JF Technology jangka kemudahan baharu di Kota Damansara siap pada Q3 2022 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

JF Technology jangka kemudahan baharu di Kota Damansara siap pada Q3 2022

Pengarah Urusan JF Technology, Datuk Foong Wei Kuong (tiga dari kiri) ketika menghadiri majlis pecah tanah bagi pembinan kemudahan baharu syarikat di Kota Damansara hari ini yang turut dihadiri barisan lembaga pengarah dan pengurusan kanan JF Technology.

 

 

KUALA LUMPUR 7 Sept. - JF Technology Bhd. menjangkakan pembangunan kemudahan baharu di Kota Damansara siap pada suku ketiga 2022 sekali gus dapat memenuhi permintaan kukuh industri semikonduktor yang semakin berkembang pesat. 

 

Pengarah Urusan JF Technology, Datuk Foong Wei Kuong berkata, ia membolehkan kumpulan melipatgandakan kapasiti sedia ada dan menjadi pencapaian penting kepada kumpulan untuk berkembang ke peringkat seterusnya. 

 

"Peningkatan trend ini dijangka dapat dilihat pada masa hadapan terutama dengan peralihan ke arah teknologi 5G dan penggunaan kenderaan elektrik (EV) yang pantas di seluruh dunia," katanya dalam kenyataan selepas majlis pecah tanah bagi fasiliti baharu itu hari ini. 

 

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif Technology, Goh Kok Sing; Pengarah Eksekutif, Datin Wang Mei Ling; Pengarah Kanan Bebas, Koay Kah Ee; Pengarah Bebas, Lew Jin Aun dan Ketua Pegawai Eksekutif, Dillon Atma Singh.

 

Kemudahan ini akan menambah 50,000 kaki per segi lagi keluasan menjadikan keseluruhannya seluas 96,000 kaki per segi.

 

Bangunan yang terdiri daripada 4 tingkat itu menempatkan ruang khusus untuk pembuatan soket ujian, perkhidmatan ujian kejuruteraan, kemudahan untuk pekerja dan ruang tempat letak kereta. 

 

Wei Kuong berkata, kemudahan canggih ini akan dikhususkan untuk pembuatan penyelesaian ujian bagi pelbagai aplikasi seperti 5G dan EV serta produk inovatif baharu. 

 

"Malah, kami juga akan membangunkan ruang baharu bagi memperluaskan lagi perkhidmatan ujian kejuruteraan bagi melengkapi perniagaan teras untuk reka bentuk, pembangunan dan pembuatan produk ujian penghubungan.

 

"Memandangkan kami mahu bergerak ke hadapan, kami akan memastikan pekerja menjadi aset paling penting, justeru, memperuntukkan satu tingkat khusus untuk kebajikan pekerja yang menempatkan kemudahan seperti gimnasium dan kafeteria," tambahnya.

 

Menurutnya, kemudahan baharu ini juga akan membantu mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi di Malaysia sekali gus membolehkan JF Technology bukan sahaja berkembang pesat dalam industri semikonduktor tetapi keseluruhan rantaian bekalan. - DagangNews.com