Jet pejuang Hawk TUDM mungkin dijual kepada negara ketiga  | DagangNews Skip to main content

Jet pejuang Hawk TUDM mungkin dijual kepada negara ketiga 

oleh ZAKI SALLEH

KUALA LUMPUR 8 Mei - Belum pun ditamatkan khidmat, namun pesawat jet pejuang Hawk Mk208 dan Hawk Mk108 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) disebut-sebut telah pun diintai pengguna baharu.

 

Ia susulan tawaran sejumlah pesawat jenis berkenaan kepada Tentera Udara Uruguay yang dibuat sebuah syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS), Falcon Air.

 

Falcon Air merupakan syarikat yang menjalankan perkhidmatan menyewa, menyelenggara dan jual beli pelbagai jenis pesawat serta broker sejak 30 tahun lalu.

 

Walaupun dalam tawaran kepada Uruguay tidak dinyatakan pesawat Hawk itu milik negara mana, andaian tersebut berdasarkan terdapat tiga negara pengguna yang bakal menamatkan pesawat masing-masing.

 

Selain Malaysia, negara berkenaan adalah Indonesia dan Oman yang mana daripada tiga negara itu, pesawat Hawk milik TUDM adalah versi terkini.


 

hawk
Pesawat Hawk Mk208 TUDM tiba di Pangkalan Udara Changi, Singapura bagi menyertai Eks Bersama Shield

 


Tentera Udara Oman telah menggantikan sebahagian pesawat Hawk 103/203 setelah menerima Hawk Mk166 iaitu versi pesawat tempur ringan/latihan lanjutan termaju lima tahun lalu. Negara itu memiliki empat Hawk 103 dan 12 Hawk 203.

 

Indonesia yang membeli kira-kira 60 buah pesawat Hawk versi 60, 100 dan 200 untuk latihan dan serangan udara pula merupakan negara pengguna kedua terbesar Hawk selepas India.

 

Sebahagian pesawat Hawk Indonesia diganti setelah negara itu menerima pesawat latihan T-50 KAI buatan Korea Selatan.

 

Malaysia

Malaysia pula memiliki pesawat Hawk Mk108/Mk208 sekitar tahun 1994 dan 1995 dengan jumlah terkini kedua-dua pesawat ialah 18 buah setelah beberapa daripadanya terbabit nahas udara.

 

Perolehan ini dibuat pada tahun 1990 menerusi Memorandum Persefahaman antara Malaysia dengan United Kingdom melibatkan 28 buah pesawat Hawk kesemuanya.


 

hawk
Malaysia pula memiliki pesawat Hawk Mk108/Mk208 sekitar tahun 1994 dan 1995.

 


Hawk Mk108 mempunyai dua tempat duduk sebagai pesawat latihan lanjutan manakala Hawk Mk208 pula satu tempat duduk.

 

Dalam insiden di Lahad Datu, Sabah pada Mac 2013, lima buah pesawat Hawk dikerah untuk melancarkan serangan udara terhadap kumpulan pengganas Sulu.

 

TUDM akan menamatkan khidmat Hawk secara berperingkat-peringkat apabila pesawat tempur ringan, FA-50 buatan Korea Selatan diterima nanti.


 

parafrasa
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’  Affendi Buang (tengah di hadapan) semasa merasmikan sambutan Jubli Perak pesawat Hawk di Pangkalan Udara Butterworth pada 2019.

 


Dikatakan Uruguay telah menerima tawaran perolehan bernilai AS$110 juta yang sangat menguntungkan ini daripada segi ekonomi untuk perolehan lapan pesawat Hawk meliputi enam versi Hawk 200 dan dua Hawk 100.

 

Walaupun pesawat-pesawat ini telah mencapai usia 30 tahun, namun Hawk masih disifatkan sebagai pesawat pejuang subsonik dan latihan yang terbaik.

 

Hawk juga mempunyai keupayaan sebagai pesawat tempur ringan dan boleh melakukan serangan darat. 

 

Pakej itu termasuk latihan dan sejumlah besar alat ganti yang akan memastikan kemampanan logistik negara itu selama bertahun-tahun.

 

Tawaran juga menyebut bahawa pesawat-pesawat ini mempunyai sejumlah besar baki jam penerbangan selain mempunyai rekod tahap penyelenggaraan yang tinggi.

 

Pesawat Hawk telah dioperasikan oleh 18 buah negara dengan jumlah yang dibina sebanyak 1,020 pesawat.


 

hawk

 


Uruguay sejak beberapa tahun lalu bergelut untuk meningkatkan kemampuan tentera udaranya yang masih bergantung pada aset-aset lama.

 

Satu-satunya pesawat tempur yang dimiliki ialah tujuh buah jet Cessna A-37 Dragonfly manakala aset lain ialah pesawat Pilatus PC-7 dan SIAI Marchetti 260 untuk latihan.

 

Negara Amerika Selatan itu berazam untuk memperoleh pesawat baharu dengan opysen terbaik adalah mendapatkan pesawat tempur terpakai. - DagangNews.com