KUALA LUMPUR 3 Mac - Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) terpilih sebagai antara lima Project Champion dengan undian tertinggi di bawah 'Kategori C2 - Information and communication infrastructure: an essential foundation for an inclusive information society', oleh World Summit on the Information Society (WSIS) – WSIS Prizes 2023 anjuran Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) baru-baru ini.
Jabatan Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan berkata, pemilihan Jendela sebagai Project Champion adalah sempena penantian bagi keputusan akhir pemenang yang akan diumumkan pada Majlis Anugerah WSIS 2023 sempena WSIS Forum 2023 di ITU UN, Geneva, Switzerland pada 14 Mac 2023.
"Kejayaan ini merupakan satu pengiktirafan besar kepada MCMC yang telah bertungkus lumus untuk merealisasikan inisiatif Jendela yang beraspirasi untuk menyediakan liputan kesalinghubungan dan penyediaan perkhidmatan internet yang berkualiti untuk rakyat Malaysia.
"Pihak MCMC juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua yang mengundi dan memberi sokongan penuh terhadap inisiatif ini," katanya.
Menurut MCMC, Jendela yang merangkumi dua fasa telah dibangunkan untuk meningkatkan secara berterusan liputan kesalinghubungan dan penyediaan perkhidmatan internet berkualiti untuk manfaat rakyat, sektor perniagaan dan juga pihak berkepentingan.
Katanya, menjelang hujung 2025, Jendela beraspirasi untuk memperluaskan akses gigabit bagi jalur lebar talian tetap kepada 9 sembilan (9) juta premis, 100% kawasan berpenduduk mendapat liputan internet dan mencapai purata kelajuan jalur lebar mudah alih pada 100 Mbps.
"Jendela Fasa 1 (2020-2022) menyasarkan untuk memperluaskan akses gigabit bagi jalur lebar talian tetap kepada 7.5 juta premis, meningkatkan liputan jalur lebar mudah alih 4G kepada 96.9% di kawasan berpenduduk, meningkatkan purata kelajuan jalur lebar mudah alih kepada 35 Mbps," katanya.
Sementara itu, Jendela Fasa 2 (2023-2025) memberi tumpuan dalam penyediaan liputan internet bagi baki 3% kawasan berpenduduk, memperluaskan akses gigabit bagi jalur lebar talian tetap kepada 9 juta premis.
"Pengiktifaran ini adalah bukti komitmen kerajaan dan MCMC untuk terus memperkasakan kesalinghubungan dan memperkukuhkan ekosistem digital supaya rakyat dan negara akan sentiasa bersedia untuk mendepani cabaran ekonomi semasa secara keseluruhan," katanya.
WSIS Prizes adalah satu pertandingan antarabangsa yang unik, dibangunkan bagi menilai dan mengiktiraf projek cemerlang dalam melaksanakan strategi berorientasikan pembangunan yang memanfaatkan ICT sebagai pemangkin kepada pembangunan.
WSIS Prizes juga merupakan satu platform untuk mengenal pasti dan mempamerkan kisah-kisah kejayaan dan model yang boleh dicontohi, untuk menghargai usaha pihak-pihak berkepentingan atas komitmen mereka dan nilai tambah yang diberikan kepada masyarakat ke arah mencapai matlamat WSIS. - DagangNews.com








