Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia edisi keempat di Terengganu diserbu pengunjung pagi ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia edisi keempat di Terengganu diserbu pengunjung pagi ini

Para pengunjung Jelajah AKM di Terengganu tidak melepaskan peluang membeli barangan dengan harga lebih murah berbanding pasaran.
Oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA NERUS 2 Jun - Perkarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini yang biasanya sepi sejak pandemik COVID-19 melanda negara 2 tahun lalu, bertukar meriah seawal 8 pagi ini dengan kehadiran pengunjung sempena penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 2022.

 

Tinjauan DagangNews.com mendapati ribuan pengunjung tanpa mengira usia, termasuk pelajar sekolah, belia dan warga emas mula memenuhi perkarangan kompleks sukan tersebut bagi melihat sendiri keistimewaan yang ditawarkan dalam Jelajah AKM edisi keempat di Terengganu kali ini.

 

Hari pertama ia membuka tirainya dengan program Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia, aktiviti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) robotik, perkongsian kejayaan surirumah menjadi usahawan dan bimbingan untuk pelajar mengisi UPU Online yang dikendalikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

 

Antara aktiviti yang dijangka mendapat sambutan hangat dari pengunjung sepanjang 3 hari Jelajah AKM ini berlangsung ialah karnival kerjaya, Jualan Keluarga Malaysia yang menawarkan potongan harga hingga 20% berbanding harga pasaran, jualan pelbagai jenis produk oleh usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), sukan tradisional rakyat, e-sukan, demonstrasi masakan tradisional dan persembahan kebudayaan Terengganu.

 

 

Muhammad Farhan Zaki
Muhammad Farhan Zaki

 

 

Salah seorang pengunjung, Muhammad Farhan Zaki, 23, berkata, beliau menghadiri program itu bersama 12 rakannya kerana mahu mengintai peluang pekerjaan selain menyambung pelajaran ke mana-mana pusat pengajian TVET Pendidikan Teknikal dan Latihan (Vokasional) yang sesuai.

 

Pelajar tahun akhir Diploma Teknologi Elektrik Kuasa di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Terengganu itu dimaklumkan banyak majikan dan IPT ada membuka reruai (booth) untuk pengunjung melihat sendiri peluang pekerjaan atau peluang menyambung pengajian dalam bidang TVET kerana ia menjanjikan masa depan yang cerah untuk mereka.

 

"Selain itu, saya juga ingin dapatkan maklumat terkini berhubung TVET kerana berharap adik saya yang akan tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga menyambung pelajaran dalam bidang ini. 

 

"Peluang pekerjaan sentiasa terbuka luas kerana sektor perindustrian memerlukan banyak tenaga berkemahiran tinggi. 

 

"Pelajar TVET juga mendapat kemudahan sama seperti pelajar aliran sains seperti biasiswa, elaun, asrama dan pinjaman pelajaran. Ia pilihan terbaik untuk golongan belia," katanya.

 

 

Awangku Ahmad Tajudin
Awangku Ahmad Tajudin

 

 

Seorang lagi pengunjung, Awangku Ahmad Tajudin, 49, pula berhasrat untuk mendapatkan penerangan mengenai pembiayaan perniagaan yang disediakan oleh agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan SME Corp sebagai persediaan untuk anak sulungnya bergelar usahawan tidak lama lagi.

 

"Memang saya tahu agensi-agensi berkaitan keusahawanan ini banyak menyediakan geran pembiayaan dan pinjaman perniagaan, cuma saya tidak berkesempatan untuk bertemu 'empat mata' dengan mana-mana pegawai yang boleh memberi penerangan terperinci.

 

"Setelah hadir ke Jelajah AKM hari ini, lagi banyak maklumat yang saya tahu berkaitan perkhidmatan yang ditawarkan agensi kerajaan seperti kursus keusahawanan untuk individu yang baru hendak belajar berniaga, khidmat bimbingan dan nasihat berkaitan pemasaran produk serta pembungkusan dan pelabelan," katanya yang sangat berpuas hati dengan layanan diterima.

 

 

Hasnah Ibrahim
Hasnah Ibrahim

 

 

Sementara itu, Hasnah Ibrahim, 60, hadir ke program itu bersama 2 anaknya untuk membeli barangan keperluan dapur yang murah termasuk ayam kampung dan daging segar.

 

"Jelajah AKM pun ada tawarkan hadiah untuk pengunjung dengan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM50,000. Tak salah cuba nasib, mana tahu ada rezeki.

 

"Lagipun saya memang suka datang ke karnival atau ekspo sebegini sebab nak tengok jualan produk keluaran usahawan IKS Terengganu. 

 

"Sudah 2 tahun tak ada program berskala besar seperti ini. Memang tak sabar nak pergi ke setiap reruai kerana kebiasaannya pasti ada yang menarik menanti pengunjung," katanya.- DagangNews.com.