BANGI 12 Julai - Akademi Robotik JAZRO (JAZRO) mengumumkan kerjasama dengan pusat beli-belah, Evo Mall untuk menganjurkan Karnival Robotik dari Sabtu, 16 Julai hingga Ahad, 17 Julai 2022.
Karnival Robotik adalah suatu program kesedaran pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk kanak-kanak berumur antara 7 hingga 17 tahun dan matlamat utamanya ialah untuk memberi pendedahan tentang dunia teknologi berkaitan robotik.
Program selama dua hari di pusat beli-belah tersebut menampilkan pelbagai aktiviti yang terdiri daripada sesi perkongsian STEM, permainan, cabutan bertuah dan bengkel yang mengajar kanak-kanak membina robot.
Pengasas Bersama JAZRO, Ir. Dzulfarqeish Zainuddin berkata, mereka ingin kanak-kanak dan ibu bapa tahu bahawa pembelajaran robotik boleh menjadi menyeronokkan.
"Mulakan pembelajaran pada usia muda dan pupuk minat mereka dari sana. JAZRO teruja untuk berada di Bangi kali ini, jadi penduduk-penduduk di bandar-bandar sekitar dapat peluang untuk belajar tentang robotik dalam suasana yang kondusif di Evo Mall," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Dzulfarqeish, JAZRO mempunyai rekod prestasi dalam menganjurkan program seperti ini pada masa lalu di Pantai Timur.
"Sekarang, kami perluaskan program kami ke Lembah Klang dengan harapan lebih ramai kanak-kanak terutamanya di Selangor dan Kuala Lumpur dapat mengetahui asas-asas pengekodan dan robotik," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Evo Mall, Mohd Fauzi Ibni Hajar pula berkata, program Karnival Robotik adalah untuk memupuk kanak-kanak dan belia untuk mempunyai pemikiran kreatif dan inovatif dalam menyelesaikan masalah.
"Selain itu, ia juga bertujuan untuk mewujudkan modal insan yang berpengetahuan tinggi dalam meneruskan kehidupan moden ini," katanya.

Pengunjung program boleh melawat gerai-gerai pameran Petrosains, Taman Realiti Maya (VR), Projek Mika, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Techlympics untuk belajar tentang dunia digital dan teknologi selaras dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
Program ini juga akan mengadakan pertandingan robotik dan pemenang-pemenang akan dapat membawa pulang hadiah menarik. Sementara itu, sebanyak 45 cabutan bertuah disediakan untuk menceriakan orang ramai sepanjang dua hari acara berlangsung.
Masuk adalah percuma dan yuran untuk menyertai pertandingan hanya RM5 seorang. - DagangNews.com








