Jaya Grocer buka cawangan baharu ke-49 di Plaza Shah Alam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jaya Grocer buka cawangan baharu ke-49 di Plaza Shah Alam

Pasar raya Jaya Grocer di Plaza Shah Alam merupakan cawangan ketiga di Shah Alam selepas Plaza Jelutong dan Ardence Labs.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Jan - Pasar raya Jaya Grocer menyambut permulaan tahun baharu yang gemilang dengan pembukaan cawangan ke-49 di Plaza Shah Alam, cawangan ketiga di ibu negeri Selangor selepas Plaza Jelutong dan Ardence Labs, baru-baru ini.

 

Ketua pegawai eksekutifnya, Adelene Foo berkata, pelancaran tersebut adalah penghargaan kepada para pelanggan di Shah Alam yang memberikan sokongan padu kepada jenama tempatan itu. 

 

"Kami membuka cawangan pertama pada 2007 di Selangor, dan setelah hampir 17 tahun, kami bersyukur kerana berjaya membuka cawangan ke-49 kami di ibu negeri Selangor," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Terdahulu, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik turut hadir pada majlis perasmian pasar raya Jaya Grocer di Plaza Shah Alam.

 

Adelene berkata, cawangan pertama di Plaza Jelutong dibuka pada 29 September 2012 dan dengan pantas membina reputasi dalam menawarkan produk berkualiti tinggi dan perkhidmatan pelanggan yang cemerlang. 

 

"Dengan tiga cawangan strategik kami di Shah Alam, pelanggan kini dapat menikmati pengalaman membeli-belah yang lebih mudah dan selesa bersama kami," katanya.

 

Beliau berkata, dengan permulaan tahun baharu yang positif, rancangan memperluaskan rangkaian Jaya Grocer berjalan lancar dan berharap 2024 membawa kejayaan yang lebih gemilang. 

 

 

jayagrocer


 

 

"Tahun ini dijangkakan lebih cemerlang sejajar dengan unjuran pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi yang dikeluarkan oleh kebanyakan badan penyelidikan," katanya.

 

Katanya, Rating Agency of Malaysia (RAM) meramalkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2024 akan mencapai antara 4.5 hingga 5.5%, meningkat daripada anggaran kadar pertumbuhan sebanyak 4% pada 2023.

 

 

jayagrocer

 

 

"Dengan ketiga-tiga cawangan kami yang strategik di bandar ini, pelanggan di Shah Alam dapat menikmati akses lebih besar kepada rangkaian produk premium kami, sekali gus mengukuhkan komitmen untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan lebih cekap," katanya.

 

 

jayagrocer

 

 

Sementara itu, bagi menghargai para pelanggan di Shah Alam, Jaya Grocer menawarkan promosi istimewa mulai 13 hingga 21 Januari untuk pelbagai barangan keperluan seperti sayur-sayuran, ayam dan daging serta tawaran menarik untuk produk import dan makanan kucing.

 

Seperti cawangan Jaya Grocer yang lain, cawangan Plaza Shah Alam turut menawarkan perkhidmatan membeli-belah dalam talian melalui GrabMart untuk pengalaman berbelanja yang terbaik kepada pelanggan.

 

Pelanggan boleh menikmati lebih banyak tawaran nilai dan diskaun setiap bulan melalui program keahlian Jaya Grocer yang dibawakan oleh Grab. Akses kepada program keahlian itu tersedia secara terus melalui aplikasi mudah alih Grab - DagangNews.com