Jangkaan perolehan Maxis hingga FY23 diturunkan 1% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jangkaan perolehan Maxis hingga FY23 diturunkan 1%

Maxis Berhad (Maxis)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Jangkaan perolehan syarikat telekomunikasi Maxis Berhad (Maxis) diturunkan sebanyak 1% bagi tahun kewangan 2021, 2022 dan 2023.

 

Susulan itu, jangkaan perolehan bagi tempoh berkenaan masing-masing berubah kepada RM9.1 bilion, RM9.3 bilon dan RM9.6 bilion.

 

MIDF Research berkata, jangkaan penurunan itu dibuat dengan tanggapan bahawa purata pendapatan setiap pengguna (ARPU) yang lebih lemah sepanjang tempoh berkenaan.

 

"Kami menganggap ARPU adalah lebih lemah kerana kami berpandangan strategi penumpuannya mengambil masa untuk memberi hasil yang lebih memuaskan dalam jangka masa terdekat.

 

"Untuk itu, perolehan bagi FY21, FY22 dan FY23 masing-masing telah disemak turun masing-masing sebanyak 4.8%, 4.7% dan 4.1% kepada RM1.35 bilion, RM1.43 bilion dan RM1.6 bilion," jelas MIDF Research.

 

Mengulas berkaitan isu sama, PublicInvest Research memberitahu, prestasi keseluruhan ARPU dan margin Maxis adalah selari dengan rata-rata industri.

 

Pihaknya menjangkakan trend penurunan semasa ARPU akan terus menyebabkan berlakunya situasi pasaran tepu dan persaingan.

 

"Walaupun intensiti modal Malaysia pada kadar 14.2% di bawah purata global, Maxis bagaimanapun mempunyai intensiti yang lebih tinggi dan kami jangka akan kekal sebanyak 15% ke hadapan.

 

"Jangkaan itu memandangkan pelaburan yang berterusan dalam usaha mengembangkan perniagaan Fiber serta peningkatan rangkaian," jelas PublicInvest Research.

 

Maxis mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak 5.3% kepada RM360 juta pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21) berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Hasil perkhidmatan kumpulan juga terus kukuh pada RM1,988 juta, meningkat 3.1% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya seiring strategi penumpuan yang lebih baik serta sumbangan yang lebih tinggi daripada perniagaan Fiber dan pasca bayar.

 

Baca: Keuntungan Q2 Maxis melonjak kepada RM360 juta, umum dividen 4 sen 

 

Sementara itu, CGS-CIMB Research mengambil keputusan mengurangkan jangkaan perolehan sesaham (EPS) Maxis bagi tahun kewangan 2021 hingga 2023.

 

CGS-CIMB Research membuat pengurangan sebanyak 4.7% hingga 7.1%.

 

"Selepas membuat pengurangan perolehan, kami turut menurunkan harga sasaran sesaham (TP) sebanyak 4% kepada RM4.60 dengan jangkaan dividen yang lebih sesuai sebanyak 4.0% hingga 4.7% bagi tahun kewangan 2021 hingga 2023," jelas CGS-CIMB Research.

 

CGS-CIMB Research mengekalkan penarafan 'pegang' saham Maxis, sementara MIDF Research dan PublicInvest Research mengekalkan saranan 'neutral' saham Maxis. - DagangNews.com