Jangkaan penurunan kadar faedah AS dorong peningkatan dagangan pelabur asing - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Jangkaan penurunan kadar faedah AS dorong peningkatan dagangan pelabur asing - MIDF Research

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 2 Mei - Jangkaan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) bakal diturunkan tahun ini membawa kepada sentimen positif aktiviti dagangan di Bursa Malaysia terutamanya dalam kalangan pelabur asing.

 

Menurut MIDF Research, perkembangan ini dapat memacu penilaian pasaran yang lebih baik dengan peningkatan aktiviti dagangan setakat tahun ini telah dapat dilihat berikutan ramalan Rizab Persekutuan (Fed) AS akan memotong kadar faedah.

 

"Pertumbuhan hasil (Bursa Malaysia) yang kukuh berpunca daripada aktiviti perdagangan yang lebih tinggi setakat tahun ini. Purata Nilai Dagangan Harian (ADV) OMT meningkat +36.9%yoy kepada RM2.93 bilion kerana semua segmen menyaksikan minat dagangan yang lebih tinggi, terutamanya institusi asing.

 

"ADV (OMT) untuk institusi domestik, runcit dan institusi asing masing-masing meningkat +22.8%yoy kepada RM1.25b, +7.4%yoyo kepada RM656m dan +99.0%yoy kepada RM1.02 bilion.

 

"Kami tidak terkejut dengan ini memandangkan sentimen yang memberangsangkan untuk aset berisiko global berdasarkan jangkaan pemotongan kadar faedah AS pada 2024," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Fed AS dijangka menurunkan kadar faedah bermula Jun 2024. Bagi Mei 2024, bank pusat AS itu masih mengekalkan kadar faedah pada julat 5.25%-5.50% yang dikenakan sejak Julai tahun lalu.

 

Sementara itu, MIDF Research menjangkakan prospek yang baik untuk aktiviti dagangan di Bursa Malaysia tahun ini daripada sudut pendapatan dan penilaian korporat.

 

"Kami mengekalkan saranan BELI dengan TP yang disemak sebanyak RM8.20 (sebelum ini RM8.00)," jelasnya.

 

Bursa Malaysia catat PATAMI sebanyak RM75 juta bagi 1Q2024, meningkat 33.6% berbanding 1Q2023

 

Bursa Malaysia Berhad mencatatkan Keuntungan Selepas Cukai, Zakat dan Faedah Minoriti (PATAMI) sebanyak RM75 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1Q2024), peningkatan 33.6% berbanding RM56.2 juta dilaporkan pada suku yang sama sebelumnya berakhir 31 Mac 2023 (1Q2023).

 

Kenaikan dalam PATAMI didorong terutamanya oleh peningkatan 23.0% dalam hasil operasi pasaran sekuriti kepada RM123.1 juta pada 1Q2024, daripada RM100 juta pada 1Q2023.

 

Dalam perkembangan sama, RHB Investment Bank berkata, keputusan 1Q24 Bursa Malaysia menyaksikan nilai purata harian sekuriti (SADV) yang lebih kukuh daripada jangkaan.

 

"Untuk April 24, SADV mencapai RM3.2 bilion yang luar biasa. Kami meramalkan perkembangan yang sederhana dan sihat," kata firma penyelidikan itu yang mengekalkan saranan 'Neutral' dan TP RM8.

 

Jelas RHB Investment, ketegangan geopolitik yang berterusan memberikan risiko penurunan kepada sentimen pasaran.- DagangNews.com