Ital Auto dilantik sebagai pengimport baharu Ferrari di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ital Auto dilantik sebagai pengimport baharu Ferrari di Malaysia

KUALA LUMPUR 10 Mei - Walaupun telah bergabung sejak 15 tahun lalu, hubungan Ferrari dan Kumpulan NAZA secara rasmi berakhir pada Mac 2023.

 

Dalam satu kenyataan yang mengesahkan penamatan itu, kumpulan berkata, pihaknya telah meneliti gabungan jenama perniagaan automotifnya untuk menentukan sama ada ia paling sesuai untuk rancangan perniagaannya. 

 

"Kami telah bersetuju untuk menamatkan hubungan kami dengan Ferrari S.P.A kerana ketidakselarasan jangkaan mereka dengan strategi kami. Ferrari diberi jaminan akan membantu untuk peralihan perniagaan yang berjaya," katanya.

 

Untuk beberapa lama, sebuah syarikat baharu dikhabarkan akan mengambilalih. Kini spekulasi itu berakhir apabila Ital Auto Malaysia Sdn Bhd (Ital Auto) dilantik sebagai pengimport rasmi dan sah baharu untuk Ferrari di Malaysia berkuat kuasa 5 Mei 2023.

 

Sejak 2009, Ital Auto telah menjadi pengimport Ferrari Singapura. Jutawan Malaysia, Ong Beng Seng memiliki konglomerat Komoco berbilang francais, termasuk Ital Auto.

 

Selain Ferrari, Komoco bertanggungjawab menguruskan Hyundai dan Maserati di Singapura, lapor The Sun Daily.

 

Dengan menyediakan perkhidmatan pelanggan yang terkemuka dan perkhidmatan boleh dipercayai, mereka telah membuktikan diri sebagai rakan kongsi yang berjaya.

 

Menurut kenyataan Ital Auto, deposit dan tempahan pelanggan semasa Naza Italia untuk kenderaan Ferrari akan dipindahkan kepada Ital Auto. 

 

Bilik pameran Ital Auto dikhabarkan terletak di Glenmarie dan bakal dilancar tidak lama lagi. - DagangNews.com