KUALA LUMPUR 13 Julai - Isuzu Malaysia mencatatkan peningkatan mendadak jualan kenderaan sebanyak 143% kepada 4,237 unit pada separuh pertama 2022.
Angka jualan bagi tempoh separuh pertama tahun ini sudah setanding dengan pencapaian tahun 2021 iaitu 4,601 unit. Ini telah melonjakkan jenama berkenaan ke kedudukan ketiga dalam segmen trak pikap.
Minat yang semakin berkembang terhadap trak pikap, antara lain disebabkan oleh Isuzu D-Max, telah menyumbang kepada rekod jualan baharu Isuzu Malaysia.
Gergasi trak dari Jepun itu mencetus fenomena global dengan Isuzu D-Max serba baharu yang telah memberi takrifan segar terhadap penampilan trak pikap, prestasi serta rasa melalui model generasi ketiga diperkenalkan.
Daripada versi Single Cab untuk tugasan lasak hinggalah kepada varian X-Terrain yang canggih dan lengkap dengan pelbagai ciri maju, Isuzu berjaya menyuntik pelbagai kemampuan ke dalam trak berkenaan, disamping tetap memberi perhatian kepada keselesaan, keselamatan dan keseronokan pemanduan.
Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe berkata, sejak pengenalan Isuzu D-Max serba baharu, pihaknya melihat pertambahan minat dalam penggunaan trak pikap.
"Ini terutamanya daripada pembeli kali pertama dan mereka yang menaik taraf kenderaan yang sangat terpesona dengan cara bagaimana D-Max mengadunkan keseimbangan antara trak pikap yang gagah dengan keselesaan dan kecanggihan kereta sedan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dengan prestasi enjin yang begitu anjal, penggunaan minyak yang sangat cekap, kepelbagaian penggunaan serta kadar cukai jalan yang terendah dalam kelasnya untuk pasaran Malaysia, varian 1.9 liter Blue Power terbukti menjadi pilihan paling popular dalam kalangan pembeli di Malaysia, menyumbang hampir 80% daripada jumlah keseluruhan jualan.
Varian flagship X-Terrain juga semakin mendapat sambutan, menyumbang 10% daripada jumlah keseluruhan jualan. Ini merupakan pencapaian membanggakan bagi Isuzu memandangkan syarikat tidak pernah menikmati penerimaan yang kukuh seperti itu dalam segmen kenderaan gaya hidup sebelum ini, dengan tumpuan hanya diberikan sepenuhnya terhadap penawaran jentera kerja yang boleh diharap semata-mata.

Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo pula berkata, X-Terrain menerima sambutan hangat dalam kalangan pengguna 'urban'.
"Ramai yang menjadikan model terbabit sebagai kenderaan aktiviti gaya hidup mereka, dengan adanya keseimbangan yang sangat baik antara ruang, kebolehan, keselesaan dan keselamatan.
"Dengan kemaskini terbaru yang diberikan, termasuklah warna baru, lampu aluan, plat pelindung, pengecas Qi tanpa wayar serta peninjau sekeliling, ia menjadi sebuah kenderaan yang lebih lengkap dan membolehkan pemiliknya melakukan lebih banyak perkara dengannya,” katanya. - DagangNews.com








