Isuzu Malaysia catat jualan tertinggi dengan 9,211 kenderaan terjual pada 2022 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Isuzu Malaysia catat jualan tertinggi dengan 9,211 kenderaan terjual pada 2022

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Jan - Isuzu Malaysia mencatat prestasi jualan yang tertinggi setakat ini, melibatkan 9,211 unit terjual bagi model Isuzu D-Max dengan hanya kekurangan beberapa unit sahaja lagi untuk membolehkan syarikat mencatat jualan sekali ganda berbanding pada 2021. 

 

Prestasi menakjubkan ini menjadi rekod terbaharu yang belum pernah dicapai setakat ini, dengan mengatasi rekod sebelumnya yang melibatkan 6,480 trak pikap terjual pada 2016.

 

Prestasi membanggakan ini disumbangkan minat meluas terhadap model 1.9 liter yang telah terbukti cekap dan hanya melibatkan kos penggunaan yang rendah, dan dalam masa sama tampil cukup meyakinkan dari segenap aspek rekaan, kelengkapan, prestasi dan keselamatan.

 

Mengisi 79% daripada portfolio keseluruhan, varian 1.9 liter menjadi pilihan utama di Malaysia, terutama di Semenanjung Malaysia yang mana 55% daripada jumlah keseluruhan trak pikap terjual.

 

Varian flagship X-Terrain juga semakin menarik perhatian pelanggan bagi segmen trak pikap gaya hidup walaupun masih dikira baru dalam pasaran. 

 

Sebanyak 877 unit telah diserahkan kepada pelanggan yang memilihnya di sebabkan oleh penampilan segak model berkenaan yang datang dengan ruang dalaman yang luas lagi selesa, prestasi yang meyakinkan serta aspek keselamatan yang canggih.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe berkata, walaupun berdepan dengan kekurangan stok dari kilang, Isuzu D-Max generasi ketiga mencapai tahap membanggakan daripada segi penembusan pasaran. 

 

 

isuzu

 

 

"Dengan rekaan menawan dan segar, generasi terkini Isuzu D-Max membawakan tahap baru dalam keselesaan pemanduan trak pikap, tanpa mengorbankan warisan dan ketahanan sedia ada Isuzu. Ia benar-benar mewakili semangat sebuah trak pikap moden,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo pula berkata, fokus mereka tahun ini adalah untuk memastikan pengalaman pelanggan kekal positif dalam usaha untuk memendekkan tempoh menunggu dan memperluaskan rangkaian. 

 

 

isuzu

 

 

isuzu

 

 

"Saya ingin berterima kasih kepada semua pelanggan atas sokongan dan kesabaran mereka, serta kepada rakan niaga yang telah banyak membantu kami untuk menjadi pelopor walaupun berdepan cabaran bekalan kenderaan yang terhad,” katanya.

 

Tidak mengejutkan, kehadiran Isuzu D-Max generasi ketiga tidak hanya mengakumkan pemiliknya sahaja, bahkah media automotif juga. Model ini telah diberikan beberapa pengiktirafan dan anugerah, bukan hanya untuk varian flagship X-Terrain tetapi juga varian lain, serta turut dinobatkan sebagai “Pick-Up Truck of the Year”.

 

Dengan semua model yang ada ini diberi penarafan lima-bintang untuk ASEAN NCAP, barisan Isuzu D-Max turut menawarkan kelegaan fikiran, terutama melalui varian X-Terrain yang diberikan jaminan tanpa had selama tujuh-tahun, yang pertama seumpamanya untuk trak pikap. - DagangNews.com