Isu seleweng dana PenjanaKerjaya: Majikan digesa tampil buat bayaran balik, elak hukuman lebih keras - Saravanan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Isu seleweng dana PenjanaKerjaya: Majikan digesa tampil buat bayaran balik, elak hukuman lebih keras - Saravanan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PUTRAJAYA 15 Julai - Mana-mana pihak majikan dan penyedia latihan yang terlibat dalam salah laku permohonan Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) digesa tampil ke Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk membuat bayaran balik insentif tersebut bagi mengelakkan tindakan undang-undang lebih keras pada masa akan datang, menurut Kementerian Sumber Manusia (KSM).

 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, kementerian sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang telah melaksanakan tuntutan palsu dan penyelewengan dana kerajaan. 

 

Beliau berkata, pihak-pihak yang telah membuat tuntutan palsu itu mesti dibawa ke muka pengadilan dan menerima hukuman yang setimpal.

 

Katanya, dana PenjanaKerjaya yang telah disalurkan kepada majikan adalah sebagai suatu inisiatif kerajaan semasa tempoh pandemik COVID-19 yang bertujuan untuk membantu majikan dalam menggajikan pekerja yang menganggur dan membantu pencari kerja mendapatkan pekerjaan. 

 

Jelasnya, KSM juga menyokong penuh usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Perkeso dalam menjalankan siasatan berhubung kes tuntutan palsu dan penyelewengan dana bagi program PenjanaKerjaya membabitkan pihak majikan dan penyedia latihan di seluruh negara melalui Ops Hire. 

 

"Ops Hire yang telah dilaksanakan bermula 13 Julai 2022 ini adalah satu aktiviti yang perlu dilaksanakan dan KSM tidak akan berkompromi sama sekali memandangkan terdapat pelbagai pihak yang telah mengambil kesempatan ke atas inisiatif kerajaan dengan melaksanakan penyelewangan dana dan tuntutan palsu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Saravanan berkata, menurut SPRM, seramai 37 individu telah ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Program PenjanaKerjaya dan nilai keseluruhan dana adalah hampir RM100 juta. 

 

"Pada masa sama, Perkeso juga telah mengambil tindakan proaktif dengan menggantung bayaran Program PenjanaKerjaya. Tindakan penggantungan bayaran ini dibuat berdasarkan penganalisisan data dan pemantauan pengoperasian PenjanaKerjaya secara berterusan daripada Perkeso," katanya.

 

Sehingga kini katanya, jumlah bayaran yang telah dibuat Perkeso kepada para majikan dan pekerja di bawah program PenjanaKerjaya adalah sebanyak RM2.34 bilion, membabitkan seramai 45,379 majikan bagi menempatkan sebanyak 327,789 pencari kerja ke dalam pekerjaan. 

 

BACA JUGA: Perkeso gantung bayaran RM423 juta PenjanaKerjaya ekoran isu seleweng, tuntutan palsu pihak majikan

 

"Oleh itu, saya menyeru kepada para majikan dan penyedia latihan agar tidak sama sekali membuat salah laku atau tuntutan palsu kerana sumber kewangan yang disalurkan telah diagihkan untuk tujuan menyokong usaha-usaha penting kerajaan demi memperkasakan pasaran buruh di Malaysia," katanya. - DagangNews.com