KUALA LUMPUR 25 Julai - Pihak Berkuasa Wilayah Iskandar Malaysia (IRDA) mencatat pelaburan komited berjumlah RM13.2 bilion setakat Jun 2022 dengan RM5.9 bilion daripadanya telah pun direalisasikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah tersebut membuktikan pelabur asing semakin yakin untuk melabur di negara ini sekali gus membuka peluang pekerjaan untuk Keluarga Malaysia.
Katanya, lebih RM10 bilion bakal dijana oleh pelaburan asing di wilayah ini untuk pembangunan pusat data.
"Secara keseluruhan, lebih 6,000 Keluarga Malaysia di wilayah ini mendapat manfaat secara langsung
daripada semua inisiatif sosioekonomi yang telah dijalankan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli IRDA kali ke-30 bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz.

Turut hadir, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menyteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.
Sejak penubuhannya pada 2006 sehingga Jun 2022, IRDA telah merekodkan sejumlah RM367.8 billion dengan 60% daripadanya sebanyak RM219 bilion telah direalisasikan.
Daripada keseluruhan pelaburan direkodkan itu, sebanyak RM148.1 bilion adalah daripada pelaburan asing.
Dalam pada itu, Perdana Menteri memberitahu, IRDA turut merangka Strategi Pertanian Moden dalam mengukuhkan agenda Sekuriti Makanan.
Malah, katanya, Pembangunan teknologi 5G yang merupakan komponen sokongan utama Pertanian Moden disegerakan di Kawasan Iskandar Malaysia bagi menangani isu bekalan makanan dalam negara.
"Ini adalah sejajar dengan agenda kerajaan yang memberi penekanan kepada sekuriti makanan melalui peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
"Pertanian Moden Iskandar Malaysia ini bakal menjenamakan IRDA sebagai 'Agrifood Hub' Malaysia," tambahnya.
Menurut beliau, IRDA juga sedang merangka Draf Pelan Pembangunan Komprehensif Iskandar Malaysia bagi 2022-2030.
"Ia bakal menjadikan wilayah ini sebagai salah satu tunjang utama menjana ekonomi negara dengan berkonsepkan pembangunan mampan dan berdaya tahan terhadap ketidaktentuan, kejutan dan tekanan masa depan," katanya. - DagangNews.com








