Ireka raih kontrak RM58 juta bangunkan projek perumahan di Terengganu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ireka raih kontrak RM58 juta bangunkan projek perumahan di Terengganu

 

 

KUALA LUMPUR 14 Dis - Ireka Corp. Bhd. menerusi anak syarikatnya, Ireka Development (Terengganu) Sdn. Bhd. (IDTSB) memperoleh kontrak membangunkan perumahan mampu milik dan bercampur bernilai RM58.29 juta di kawasan seluas 9.751 hektar. 

 

Kumpulan menerima surat anugerah daripada Koperasi Permodalan Sahabat Terengganu Bhd. (KOSAHABAT) pada 13 Disember 2021 untuk membangunkan projek tersebut di tanah kerajaan yang terletak di Kampung Baru Kuala Abang, Dungun, Terengganu.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, Ireka berkata, IDTSB akan dilantik oleh KOSAHABAT sebagai pemaju bersama bagi membangunkan projek tersebut menerusi penswastaan.

 

Berikutan penerimaan surat itu, katanya, mereka akan memeterai perjanjian kontrak yang mengikat dalam tempoh 3 bulan daripadanya, yang menggariskan butiran penuh terma dan syarat untuk projek yang dipersetujui dan diterima kedua-dua pihak.

 

"Projek ini akan bermula pada 20 Disember 2021 bagi tempoh 3 tahun dan dijangka selesai pada 19 Disember 2024.

 

"Oleh itu, IDTSB perlu mematuhi semua undang-undang dan prosedur yang ditetapkan negeri atau pihak berkuasa tempatan dan boleh melantik kontraktor tempatan untuk melaksanakan sekurang-kurangnya 30% daripada projek seperti ditetapkan Kerajaan Negeri Terengganu," katanya.

 

IDTSB secara dasarnya terlibat dalam projek pembinaan, kejuruteraan dan pembangunan hartanah.

 

Menurutnya, pelaksanaan kontrak tersebut dijangka menyumbang secara menyumbang secara positif kepada aset bersih dan pendapatan sesaham Ireka dan kumpulan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Mac 2022 dan seterusnya sehingga projek itu selesai. - DagangNews.com