KUALA LUMPUR 8 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mewakili Kerajaan Malaysia mendoakan bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe berada dalam keadaan baik dan segera pulih seperti sedia kala.
Ismail Sabri menerusi hantaran di Facebooknya berkata, beliau menerima perkhabaran amat mengejutkan tentang Utusan Khas Perdana Menteri Jepun itu yang dilaporkan ditembak ketika sedang berucap pada satu majlis di bandar Nara, barat Jepun hari ini.
"Pada Mac lalu, saya baru sahaja menerima lawatan beliau ke Malaysia bagi memperingati ulang tahun diplomatik ke 65 Malaysia-Jepun dan ulang tahun ke 40 ‘Dasar Pandang Ke Timur’ dalam satu majlis makan malam.
"Berita tentang kejadian ini amat mendukacitakan. Beliau kini telah dikejarkan ke hospital yang berdekatan untuk menerima rawatan. Dilaporkan keadaan Shinzo Abe masih dalam keadaan kritikal," katanya.
Terdahulu, Reuters melaporkan Shinzo Abe, perdana menteri Jepun yang paling lama berkhidmat, berada dalam keadaan kritikal selepas ditembak ketika berkempen untuk pilihan raya Parlimen hari ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida mengutuk tembakan di bandar Nara.
Rakyat Jepun dan pemimpin dunia melahirkan rasa terkejut dengan percubaan membunuh itu, serangan yang sangat jarang berlaku di Jepun yang dikecam oleh parti politiknya.
Polis berkata, seorang lelaki berusia 41 tahun yang disyaki melakukan tembakan itu telah ditahan. NHK memetik suspek, dikenali sebagai Tetsuya Yamagami, memberitahu polis dia tidak berpuas hati dengan Abe dan mahu membunuhnya. - DagangNews.com








