KUALA LUMPUR 23 Dis - Sejak dilancarkan tahun lepas, Maxis Awards telah menerima banyak idea berevolusi daripada pencetus perubahan di Malaysia.
Untuk pusingan ketiga anugerah ini, Yayasan Food Aid (FAF) telah menerima anugerah daripada Maxis atas inisiatif mereka untuk mengurangkan pembaziran sambil membasmi kelaparan serta malnutrisi, yang digelar Digitizing Food Aid for the Needy.
Idea kemenangan FAF ialah inisiatif food rescue, yang mana mereka mengumpulkan makanan yang disumbangkan oleh pengeluar, pengedar, pemborong dan syarikat untuk diedarkan ke rumah kebajikan, pertubuhan sukarelawan, komuniti pelarian dan orang asli, pusat pembekalan serta keluarga B40.
FAF akan menerima sehingga RM150,000 dalam bentuk penyelesaian Maxis Business, kepakaran teknikal, geran kewangan untuk mendigitalkan proses perniagaan dalaman mereka, serta sokongan pemasaran dan publisiti.
Dalam majlis ‘SEBA 2022 Central Grand Awards Presentation Gala’ yang diadakan di sini, FAF menerima anugerah itu daripada Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng.
Ketua Pegawai Pemasaran Maxis, Loh Keh Jiat berkata, dengan setiap siri Maxis Awards, pihaknya kagum dengan pendekatan sistematik FAF untuk mengurangkan makanan terbuang, sekaligus mengurangkan kesannya.
"Kami teruja untuk menyokong FAF dengan projek mereka melalui penyelesaian kami, dan berbesar hati kerana dapat menjadi sebahagian daripada inisiatif murni ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pusingan ketiga Maxis Awards telah dianjurkan dengan kerjasama SME and Entrepreneurs Business Awards (SEBA) oleh Yayasan Usahawan Malaysia.
Pengasas SEBA dan Pengerusi Yayasan Usahawan Malaysia, Nitesh Malani pula berkata, pihaknya sentiasa mencari perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan yang layak dan boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.
"Kerjasama dengan Maxis ini terus mendukung misi kami dalam mencari idea-idea perniagaan yang terbaik," katanya.
Dengan memanfaatkan teknologi dan penyelesaian berpandangan jauh, FAF bertujuan untuk meningkatkan usaha mereka berkhidmat kepada golongan yang kurang bernasib baik.
FAF berharap lebih ramai masyarakat boleh mendapat manfaat daripada misi mereka untuk mencetus harapan, sekaligus membasmi kelaparan dan kemiskinan. - DagangNews.com








