KUALA LUMPUR 16 Mei - Inflasi komponen Makanan di luar rumah pada tahun 2023 meningkat 6.7% berbanding tahun sebelumnya 6.6%, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang meneribitkan Analisis Indeks Harga Pengguna (IHP) 2023.
Menurut DOSM, ini berbeza dengan komponen Makanan di rumah yang meningkat lebih perlahan kepada 3.5% pada tahun lalu berbanding 5.3% yang dicatatkan pada 2022.
Secara keseluruhannya, Kumpulan Makanan & Minuman yang merupakan komponen terbesar dalam perbelanjaan isi rumah di Malaysia dengan sumbangan 29.5 peratus daripada wajaran IHP telah mula mereda kepada 4.8% berbanding 5.8% pada tahun sebelumnya.
Analisis DOSM itu juga menunjukkan inflasi bagi Kumpulan Restoran & Hotel merekodkan peningkatan 5.6% pada tahun 2023 berbanding 5.0% pada tahun 2022.
Subkumpulan Perbelanjaan di restoran & kafe meningkat sebanyak 5.5% berbanding yang direkodkan pada tahun 2022 (5.3%).
"Selain itu, subkumpulan Perkhidmatan penginapan juga merekodkan peningkatan ketara iaitu 5.5% pada tahun 2023 berbanding 3.7% pada tahun 2022.
"Inflasi Hotel meningkat kepada 5.8% berbanding 4.1% yang direkodkan pada tahun 2022," kata DOSM.
Sementara itu, dalam kenyataan media, Ketua Pengarah DOSM, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Inflasi Malaysia pada tahun 2023 merekodkan peningkatan perlahan kepada 2.5% berbanding 3.3% pada 2022 dengan mata indeks mencatatkan 130.4 berbanding 127.2 pada tahun sebelumnya.
Menurut beliau, inflasi bagi kumpulan utama pada tahun 2023 menunjukkan peningkatan kecuali Komunikasi (-3.0%).
"Peningkatan yang tertinggi dicatatkan oleh Restoran & Hotel sebanyak 5.6%.
"Ini diikuti oleh kumpulan Makanan & Minuman (4.8%); Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (2.4%); Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (2.3%); Kesihatan (2.2%); Pendidikan (1.9%); Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (1.7%); Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan (1.5%); Pengangkutan (1.1%); Minuman Alkohol & Tembakau (0.6%) dan Pakaian & Kasut (0.3%)," katanya.
Beliau berkata, peningkatan perlahan inflasi pada tahun 2023 ini adalah selari dengan penyusutan kebanyakan harga komoditi global, gangguan bekalan yang mereda, kawalan harga dan pemberian subsidi untuk barangan terpilih.
Kata Ketua Perangkawan Malaysia itu, walaupun komoditi tenaga menunjukkan penyusutan pada tahun 2023 (-29.9%) berbanding tahun 2022 (60.0%), tingkat harga komoditi ini masih lagi tinggi berbanding harga pra-pandemik.
Ujarnya, kenaikan kos bahan api dan kerbergantungan kepada Gas Asli Cecair (LNG) yang diimport telah mendorong kerajaan untuk membuat pelarasan tarif elektrik di bawah pelaksanaan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) bagi pengguna di Semenanjung Malaysia untuk tempoh 1 Julai 2023 hingga 31 Disember 2023.
Pengguna domestik dengan unit penggunaan elektrik melebihi 1,500kWj akan dikenakan surcaj 10 sen/kWj, katanya.
Mengulas tentang inflasi di peringkat negeri pula, Ketua Perangkawan Malaysia menjelaskan kesemua negeri menunjukkan peningkatan perlahan dalam inflasi di mana lima negeri melepasi paras inflasi nasional 2.5% pada tahun 2023.
"Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Putrajaya (3.4%), diikuti oleh Sarawak (3.1%), Selangor (2.9%), Perak (2.8%) dan Pahang (2.6%). Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan inflasi terendah 1.6 peratus.
"Kebanyakan negeri mencatatkan peningkatan perlahan bagi inflasi kumpulan Makanan & Minuman pada tahun 2023. Enam negeri menunjukkan peningkatan melebihi paras nasional 4.8% iaitu Selangor (6.1%), Sarawak (6.1%), Wilayah Persekutuan Putrajaya (5.9%), Pulau Pinang (5.0%), Pahang (4.9%) dan Perak (4.8%).
"Manakala, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi kumpulan Makanan & Minuman nasional," katanya.
Daripada sudut inflasi kawasan bandar dan luar bandar, Dr Mohd Uzir berkata, inflasi di kawasan bandar merekodkan kenaikan 2.6 peratus berbanding 3.6 peratus yang direkodkan pada tahun 2022.
"Antara kumpulan utama yang menyumbang kepada peningkatan ini adalah Restoran & Hotel (5.8%); Makanan & Minuman (5.1%) dan Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (2.5%).
"Pada masa yang sama, inflasi di kawasan luar bandar mencatatkan peningkatan 2.1 peratus pada tahun 2023 (2022: 2.6%). Peningkatan ini terutamanya disumbangkan oleh peningkatan Makanan & Minuman (3.6%); Restoran & Hotel (2.9%) dan Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (2.2%).
Kata Ketua Pengarah DOSM itu, inflasi bagi kumpulan pendapatan di bawah RM3,000 meningkat 2.7 peratus pada tahun 2023 (2022:3.3%).
"Kumpulan Restoran & Hotel merupakan penyumbang utama kepada peningkatan sebanyak 5.7 peratus, diikuti oleh Makanan & Minuman (4.1%); Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (2.8%); Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (2.3%) dan Kesihatan (2.1%).
"Inflasi teras meningkat 3.0 peratus pada tahun 2023 kadar yang sama seperti yang dicatatkan pada tahun 2022.
"Antara kumpulan yang mendorong kepada peningkatan ini adalah kumpulan Makanan & Minuman (5.8%), Restoran & Hotel (5.6%) dan Pengangkutan (4.4%)," ujarnya.
Mengulas mengenai inflasi negara-negara ASEAN, Dr. Mohd Uzir berkata, inflasi di negara-negara ASEAN menunjukkan peningkatan antara 0.4% hingga 31.2% pada tahun 2023.
Laos mencatatkan inflasi tertinggi iaitu 31.2%, manakala Brunei mencatatkan inflasi terendah pada 0.4%, katanya.
"Enam negara mencatatkan kadar inflasi yang lebih tinggi dari Malaysia (2.5%) iaitu Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Indonesia dan Vietnam.
"Cambodia, Thailand dan Brunei pula merupakan tiga negara yang merekodkan kadar inflasi lebih rendah berbanding Malaysia,” ujar beliau. - DagangNews.com