Industri vape mohon kerajaan bezakan peraturan vape daripada rokok | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Industri vape mohon kerajaan bezakan peraturan vape daripada rokok

Datuk Adzwan Ab Manas (dua dari kanan) mewakili empat persatuan industri vape menyerahkan memorandum kepada pegawai khas di pejabat Perdana Menteri untuk menggesa kerajaan mempertimbangkan masa depan industri vape Malaysia.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Julai - Empat persatuan mewakili lebih daripada 3,000 usahawan dan 15,000 pekerja sektor vape menyerahkan satu memorandum bagi memohon kerajaan untuk mempertimbangkan masa depan vape tanah air dalam membuat peraturan berkenaan industri tersebut.

 

Persatuan terbabit melibatkan Malaysia Retail Electronic Cigarette Association (MRECA), Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Persatuan Peniaga Vape Melayu (PPVM) dan Malaysia E-Vaporizers dan Tobacco Alternative Association (MEVTA).

 

Ia berikutan pelan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memperkenalkan akta baharu yang akan dibentang pada sesi Parlimen pada bulan Julai 2022. 

 

Memorandum tersebut adalah bagi mengemukakan suara serta kegusaran berkenaan perkembangan rang undang-undang tersebut kerana input serta pendapat industri tidak diambil pihak KKM.

 

Presiden MRECA, Datuk Adzwan Ab Manas berkata, pihak KKM telah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan industri berkenaan kawalan peraturan vape dalam beberapa bulan lepas, namun suara pihak industri tidak diberikan pertimbangan sewajarnya.

 

“Sebagai badan yang mewakili suara pengilang-pengilang industri vape tempatan, kami berpendapat pandangan kami adalah amat penting dalam perkara kawal selia industri ini yang melibatkan masa depan industri tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurut Adzwan, rokok dan vape adalah produk yang berbeza kerana rokok diperbuat daripada daun tembakau melibatkan pembakaran yang mengeluarkan asap dari bahan-bahan toksik yang jelas berbahaya. 

 

“Vape pula adalah produk pemanasan cecair bagi menghasilkan wap air yang terdiri daripada Vegetable Glycerin (VG), Propylene Glycol (PG), perisa dan nikotin. Pengguna dan pihak umum harus didedahkan dengan maklumat yang betul bahawa kemudaratan rokok dan vape adalah berbeza sama sekali dan peraturannya juga harus berbeza,” katanya.

 

Dalam pada itu, Presiden MEVTA, Mohamad Neezam Talib pula berkata, cadangan untuk menyamakan rokok dan vape yang mana KKM berhasrat untuk melaksanakan larangan jualan serta penggunaan vape bagi sesiapa dilahirkan selepas 2005 akan menjejaskan perniagaan pengusaha vape tanah air serta keseluruhan ekosistem industri vape. 

 

“Cadangan ini akan memberikan kesan yang besar kepada usahawan tempatan dan akan membantutkan industri vape di Malaysia. Peraturan yang diperkenalkan sepatutnya mengambil kira masa depan industri vape tempatan serta potensi vape dalam mengambil alih industri rokok tembakau memandangkan semakin ramai perokok mula bertukar kepada vape sebagai alat berhenti merokok,” katanya.

 

Selain itu, Presiden PPVM, Sabri Ismail memohon kerajaan untuk menyelaraskan perlaksanaan undang-undang yang mana industri vape bakal dikawal selia beberapa kementerian berkenaan. 

 

“Segala perancangan, undang-undang, peraturan berkaitan vape harus diselaraskan mengikut jabatan dan kementerian. Ia tidak sepatutnya bercanggah dan berbeza kerana hal ini akan menimbulkan kecelaruan,” katanya. - DagangNews.com