Industri takaful catat pertumbuhan kukuh, sumbang 23% dalam bahagian pasaran pada 2022 - MTA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Industri takaful catat pertumbuhan kukuh, sumbang 23% dalam bahagian pasaran pada 2022 - MTA

Elmie Aman Najas membentangkan prestasi industri takaful 2022 di ibu negara pada 12 April 2023.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 April - Industri takaful mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 18% dan sumbangan bersih 23% dalam bahagian pasaran pada 2022, menurut Persatuan Takaful Malaysia (MTA).

 

Pengerusi MTA, Elmie Aman Najas berkata, pertumbuhan positif industri disebabkan populariti produk takaful yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia, pengenalan produk inovatif baharu dan penggunaan teknologi digital untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan.

 

Katanya, industri ini juga telah mencapai kemajuan ketara dalam transformasi digital dengan ramai penggiat yang memanfaatkan platform dalam talian untuk pengguna membeli produk dan pengendali takaful untuk mengurus produk takaful.

 

"Kita sedang menyaksikan permintaan tinggi untuk produk takaful, yang mana semakin ramai rakyat Malaysia menyedari kepentingan melindungi diri dan keluarga mereka daripada risiko kewangan," katanya dalam kenyataan.

 

Menurut kenyataan itu, sumbangan kasar bagi takaful keluarga serta takaful am melonjak masing-masing pada 18.3% dan 21.2%. 

 

Katanya, takaful keluarga mencapai kadar penembusan sebanyak 20.1% pada 2022 berbanding 18.6% pada tahun sebelumnya berdasarkan bilangan sijil yang berkuat kuasa terhadap jumlah penduduk Malaysia. 

 

"Jumlah sijil yang berkuat kuasa pada 2022 meningkat kepada 6.63 juta sijil, berbanding 6.07 juta pada 2021.

 

 

MTA
Elmie Aman Najas (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif MTA, Mohd Radzuan Mohamed ketika sidang media prestasi industri takaful 2022 pada 12 April 2023.

 

 

"Serentak dengan itu, sejumlah 1.31 juta sijil perniagaan baharu dikeluarkan pada 2022, meningkat sebanyak 15.6% daripada 1.14 juta sijil pada 2021," katanya.

 

MTA berkata, sumbangan kasar perniagaan keseluruhan yang masih berkuat kuasa ialah sebanyak RM8.34 bilion pada 2022 berbanding RM7.42 bilion pada 2021.

 

"Pada 2022, perniagaan takaful am mencatatkan sumbangan langsung kasar sebanyak RM4.64 bilion dengan perniagaan takaful kenderaan menyumbang RM3.07 bilion dan perniagaan takaful kebakaran sebanyak RM0.84 bilion," katanya.

 

Bagi 2022 katanya, industri takaful membayar sejumlah RM7.02 bilion dalam tuntutan bersih, naik 25.9% daripada tahun sebelumnya sebanyak RM5.58 bilion.

 

MTA mengharapkan industri takaful dapat mengekalkan momentum pertumbuhannya pada 2023, walaupun pada kadar yang sederhana, memandangkan negara masih berada dalam fasa pemulihan pandemik.

 

Tambahnya, industri ini tetap komited untuk menyediakan perlindungan takaful yang mudah diakses dan berpatutan kepada semua rakyat Malaysia, sebagai antara usaha bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara. - DagangNews.com