Industri perbankan Islam dijangka kekal berdaya tahan - RAM Ratings | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Industri perbankan Islam dijangka kekal berdaya tahan - RAM Ratings

KUALA LUMPUR 29 Mac - RAM Ratings mengekalkan prospek stabil terhadap industri perbankan Islam negara sejajar dengan tinjauan keseluruhan sistem perbankan domestik.

 

Agensi penarafan itu menjangkakan industri perbankan Islam kekal berdaya tahan walaupun menghadapi risiko yang berlarutan daripada COVID-19.

 

Menurutnya, industri itu bersedia untuk meneruskan usaha ke arah penggunaan pengantaraan berasaskan nilai (VBI) yang lebih meluas.

 

“Peningkatan tumpuan terhadap kewangan mampan Islam telah mewujudkan peluang baharu, membolehkan bank membina amalan dan penyelesaian berasaskan nilai sedia ada mereka untuk mengukuhkan impak VBI.

 

"Ini menempatkan bank-bank Islam dalam kedudukan yang baik untuk memenuhi keperluan Pengurusan Risiko Iklim dan Analisis Senario Bank Negara Malaysia (BNM), berkuat kuasa 1 Jun 2022," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

RAM Ratings berkata, perbankan Islam terus menerajui pertumbuhan pembiayaan sistem perbankan dengan pengembangan kredit sebanyak 8.2% pada 2021 (berbanding 8.1% pada 2020), mengatasi peningkatan dalam pinjaman konvensional (2021: +2.5%).

 

Buat masa ini, pembiayaan Islam (termasuk institusi pembangunan kewangan) merangkumi 41% daripada jumlah pembiayaan sektor perbankan.

 

"Di tengah-tengah pemulihan ekonomi, pembiayaan Islam dijangka berkembang 10% lebih tinggi tahun ini," jelasnya.

 

Dalam pada itu, agensi itu berkata, BNM berkemungkinan memberikan sekurang-kurangnya 1 lesen bank digital kepada pemohon yang mempunyai nilai kewangan Islam yang kukuh.

 

Katanya, ia secara tidak langsung mengesahkan peranan Malaysia sebagai peneraju kewangan Islam global yang mantap.

 

"Bagaimanapun kami tidak melihat bank digital menimbulkan ancaman besar kepada perbankan Islam domestik atau sektor perbankan secara amnya dalam jangka terdekat hingga sederhana," katanya. - DagangNews.com