KUALA LUMPUR 24 Nov - Indeks Pelopor (IP) menunjukkan pergerakan yang lebih baik untuk tiga bulan berturut-turut kepada negatif 0.3% dengan merekodkan 109.3 mata pada September 2023 berbanding negatif 0.5% pada bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (20.8%) dan Bilangan Unit Kediaman yang Diluluskan Pembinaan (17.6%) menyumbang secara positif kepada IP.
Sementara itu katanya, penurunan diperhatikan dalam barangan import, khususnya dalam Import Benar Logam Asas Berharga & Logam Bukan Ferus Lain (-16.2%) dan Import Benar Semi Konduktor (-14.5%).
"Merujuk kepada prestasi bulanan, IP mencatatkan negatif 0.4% pada bulan rujukan berbanding 0.7% pada bulan sebelumnya, berikutan prestasi yang kurang memberangsangkan dalam Import Benar Logam Asas Berharga & Logam Bukan Ferus Lain ( -1.0%) dan Bilangan Syarikat Baru Didaftar (-0.8%)," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Melihat kepada arah aliran jangka panjang terlicin pada September 2023, IP kekal di bawah trend 100 mata.
Meskipun masih berada di bawah trend, ekonomi Malaysia dijangka bertumbuh sederhana, disokong permintaan domestik yang menggalakkan di tengah-tengah cabaran mata wang dan kelembapan ekonomi dunia.
Indeks Serentak (IS) yang menggambarkan keadaan ekonomi semasa, meningkat 2.1% kepada 123.8 mata pada September 2023 berbanding 121.2 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Peningkatan ini diterajui oleh Nilai Caruman Benar, KWSP (8.6%), diikuti Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (3.6%).
Pada masa yang sama, perubahan bulanan IS turut meningkat sebanyak 0.2% dengan jumlah guna tenaga dalam pembuatan menjadi penyumbang utama kepada peningkatan ini (0.3%). - DagangNews.com