Indeks harga pengeluar turun -0.8% pada Februari 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Indeks harga pengeluar turun -0.8% pada Februari 2023 - DOSM

KUALA LUMPUR 27 Mac - Kadar Indeks Harga Pengeluar Malaysia yang mengukur harga barangan di pintu kilang turun kepada -0.8% pada Februari 2023 berbanding 1.3% pada Januari tahun 2023.

 

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), ia merupakan kadar negatif yang direkodkan sejak Januari 2021 disebabkan oleh kesan asas dan harga komoditi utama yang lebih rendah.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, trend penurunan itu disebabkan oleh penurunan dalam sektor pertanian, perhutanan & perikanan dan perlombongan.

 

Menurutnya, indeks pertanian, perhutanan dan perikanan turun -26.1% dengan indeks buah tandan segar kelapa sawit melaporkan penurunan -40.5% pada Februari 2023.

 

“Pada masa yang sama, indeks perlombongan turun kepada -6.5% disebabkan terutamanya oleh penurunan indeks pengekstrakan petroleum mentah sebanyak -16.1%,” katanya dalam satu kenyatan.

 

Sementara itu, Mohd Uzir berkata indeks pembuatan meningkat 3.0% pada Februari 2023, menyederhana daripada 4.5% pada bulan sebelumnya. 

 

Beliau berkata, ini disebabkan oleh peningkatan indeks pembuatan komputer, produk elektronik & optikal (8.5%), manakala bagi sektor utiliti, indeks bekalan air serta bekalan elektrik dan gas masing-masing meningkat 3.7% dan 1.0%.

 

"Pada asas bulanan, IHPR pengeluaran tempatan menurun kepada -0.2% pada Februari 2023 berbanding -0.8%  pada bulan sebelumnya. Semua sektor mencatatkan penurunan kecuali sektor bekalan elektrik dan gas yang kekal tidak berubah," katanya.

 

Sementara itu, mengulas mengenai IHPR pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan, Mohd Uzir berkata, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya terus menurun sebanyak -16.9% pada Februari 2023 berikutan penurunan -20.3% dalam bahan bukan makanan.

 

Bagaimanapun, menurutnya, bahan perantaraan, bekalan dan komponen meningkat sederhana 3.3% pada Februari 2023 disebabkan oleh bekalan (10.8%), bahan api yang diproses dan pelincir (8.9%) serta bahan dan komponen untuk pembinaan (4.3%).

 

"Barang siap mencatatkan peningkatan 4.0% disebabkan oleh indeks kelengkapan modal (4.9%) dan barangan pengguna siap (3.0%)," katanya. - DagangNews.com