Inari raih peluang berkembang dalam pasaran semikonduktor di China, MIDF Research kekal saranan 'beli' | DagangNews Skip to main content

Inari raih peluang berkembang dalam pasaran semikonduktor di China, MIDF Research kekal saranan 'beli'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 29 Jun - Usaha sama Inari Amertron Bhd. dengan firma China Fortune-Tech Capital Co Ltd (CFTC) dapat membantu kumpulan menambah baik strategi perniagaan dan mengembangkan operasi Amertron Technology (Kunshan) Co., Limited (ATK) sedia ada dalam pasaran China yang sedang berkembang.

 

Ini membolehkan MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Inari memandangkan kerjasama tersebut akan memperluaskan lagi rangkaian produk dan pangkalan pelanggannya dengan tambahan aliran hasil. 

 

Firma itu menjangkakan usaha sama itu akan meningkatkan hasil Inari kerana ia membolehkannya menjalin kerjasama dengan dana teknologi tempatan yang kukuh dan mampu membantu membuka pasaran yang luas kepada bagi penyumberan luar pengujian dan pemasangan semikonduktor (OSAT) di China.

 

"Walaupun ia tidak menjejaskan hasil Inari bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (FY22), tetapi ia dijangka mengurangkan hasil kumpulan bagi FY23 sebanyak RM28.6 juta. 

 

"Ini disebabkan cukai pegangan ke atas keuntungan modal yang timbul daripada penstrukturan semula ATK dan duti setem ke atas pendaftaran modal saham dalam syarikat usaha sama," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Inari sedang membentuk kerjasama dengan CFTC untuk menjalankan perkhidmatan OSAT di China menerusi anak syarikat milik penuhnya, Amertron International Ltd. yang memeterai kontrak dengan CFTC (Yiwu) Equity Investment Fund Partnership (Limited Partnership) dan CFTC Equity Investment Management (Beijing) Co Ltd.

 

CFTC (Yiwu) merupakan dana ekuiti persendirian yang diuruskan oleh CFTC, manakala CFTF Equity dimiliki sepenuhnya oleh CFTC.

 

MIDF Research bagaimanapun buat masa ini tidak memasukkan sebarang akretif pendapatan ke dalam anggaran sementara menunggu pelaksanaan kerjasama itu dan membiarkan unjuran yang dibuat tidak berubah.

 

"Oleh itu, kami memperoleh harga sasaran yang lebih rendah buat Inari pada RM3.65 daripada RM4.55 sebelum ini berdasarkan kepada pendapatan sesaham (EPS) FY23 sebanyak 15.1 sen berbanding purata harga kepada pendapatan (PE) 5 tahun sebanyak 24.2 kali (sebelum ini 30.1 kali)," jelasnya.

 

Firma itu berkata, walaupun berdepan isu rantaian bekalan global yang berterusan, Inari kekal berdaya tahan dan terlindung kerana pengurusan inventorinya yang berhemat.

 

Katanya, volum pemuatan kumpulan akan terus berkembang dengan mendadak, terutama daripada segmen RF kerana ia amat diperlukan dalam penggunaan teknologi 5G.

 

"Dari segi operasi, kami juga menjangkakan margin keuntungan bertambah baik hasil daripada pelbagai langkah untuk mengawal kos dan perbelanjaan modal," katanya. 

 

Setakat 10.04 pagi, harga saham Inari susut 3 sen atau 1.13% kepada RM2.63 dengan 1.4 juta saham diniagakan. - DagangNews.com