Pengarah Tourism Johor, Suhairi Hashim (dari kiri) bersama Datuk Bandar Iskandar Puteri, Datuk Mohd. Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad ketika majlis pelancaran Portal IP di Iskandar Puteri, hari ini.
KUALA LUMPUR 14 Dis - Iskandar Investment Bhd. (IIB) melancarkan laman web komuniti Iskandar Puteri di www.iskandarputeri.com yang akan mempamekan perkembangan terkini dan inisiatif yang dilaksanakan.
Dikenali sebagai Portal IP sebagai singkatan daripada Iskandar Puteri (IP), ia akan menjadi platform komunikasi baharu kepada semua berkepentingan dan komuniti di kawasan ini.
Malah, ia juga akan menjadi pusat sehenti bagi berita terkini, peluang perniagaan, penjagaan kesihatan, pendidikan, karier, pelaburan dan perkhidmatan awam.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad berkata, pelancaran portal itu menandakan satu lagi pencapaian dalam membangunkan Iskandar Puteri sekali gus mengangkatnya kepada status bandar moden.
"Sebagai pemaju kepada pemangkin Iskandar Puteri, IIB berbesar hati dapat bekerjasama dan sinergi dengan beberapa pihak berkepentingan antaranya, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Tourism Johor.
"Selain itu, ia juga termasuklah Tourism Malaysia, IRDA, Sunway City Iskandar Puteri, UEM Sunrise Bhd., Gleneagles Medini, Legoland Malaysia dan Iskandar Malaysia Studio yang turut memainkan peranan sebagai sebahagian daripada perjalanan yang hebat ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran portal tersebut hari ini yang disempurnakan Exco Negeri Johor, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Turut hadir, Datuk Bandar Iskandar Puteri, Datuk Mohd. Haffiz Ahmad; Pengarah Tourism Johor, Suhairi Hashim.
Selain itu, majlis itu turut mengumumkan penubuhan Majlis Tindakan Pelancongan Iskandar Puteri (IPTAC).
Sementara itu, Onn Hafiz berkata, IPTAC bertanggungjawab untuk merancang, menjalankan koordinasi dan memudahkan pelan tindakan pemulihan bagi menghidupkan semula aktiviti pelancongan di Johor membabitkan pihak berkepentingan dalam industri daripada sektor swasta, kerajaan dan pihak berkuasa tempatan.
"IPTAC akan mempromosi dan mempercepatkan kerjasama dalam kalangan pihak berkepentingan dan Iskandar Puteri untuk membangunkan promosi bersepadu untuk Iskandar Puteri sebagai destinasi menarik. Pada masa akan datang, IPTAC akan menguruskan secara bersama Portal IP," jelasnya. - DagangNews.com








