Ibrahim Komoo dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah UPM berkuat kuasa 7 Februari 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ibrahim Komoo dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah UPM berkuat kuasa 7 Februari 2023

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 7 Feb - Profesor Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UPM baharu berkuat kuasa 7 Februari 2023.

 

Kesatuan Kakitangan Am Universiti Putra Malaysia (KEPERTAMA) merakamkan ucapan tahniah kepada Ibrahim dan berharap pembaharuan dilakukan.

 

Presiden KEPERTAMA, Norsyahriman Md. Arif berkata, beliau amat yakin dan percaya Ibrahim mampu untuk memikul amanah dan tanggungjawab ini dengan cemerlang, sekaligus akan melonjakkan nama UPM di seluruh dunia.

 

“Kami berpandangan ini merupakan keputusan tepat dan ia amat menggembirakan warga UPM khususnya dalam kalangan ahli KEPERTAMA.”

 

 

Norsyahriman Md. Arif
Norsyahriman Md. Arif

 

 

Sementara itu, beliau berkata persatuan itu menaruh harapan yang tinggi kepada Ibrahim dengan lantikan itu agar dapat menjadi universiti terunggul dalam negara dan mempunyai reputasi di peringkat antarabangsa. 

 

“Selaku Pengerusi Lembaga Pengarah yang baharu, kami berharap beliau dapat melontarkan idea dan menzahirkan komitmen bagi memastikan universiti ini menjuarai pelbagai bidang utama dalam negara, khususnya bidang pertanian.

 

Beliau juga perlu beriltizam tinggi memantau tadbir urus dan tata kelola UPM dalam usaha membanteras gejala rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sebarang bentuk penyelewengan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Norsyahriman juga memberi saranan agar Ibrahim melihat dan memperhalusi semula peranan serta sumbangan UPM Holdings yang seharusnya menjadi penyumbang utama dalam pengukuhan kewangan universiti.

 

Katanya, ekosistem pekerjaan perlu ditambah baik agar lebih sejahtera, harmoni dan kondusif.

 

Norsyahriman berkata, persatuan tersebut sentiasa terbuka dan bersedia dipanggil untuk berbincang mengenai hal ehwal universiti.

 

Persatuan itu juga mengucapkan penghargaan kepada Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di atas lantikan Ibrahim yang dilihat sebagai pilihan yang tepat.

 

Terdahulu, jawatan itu digalas oleh Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri DiRaja Syed Razlan ibni Syed Putra Jamalullail mulai 6 Julai 2020. - DagangNews.com