HSR mesti dibiayai swasta, itu prinsip kerajaan - Anthony Loke | DagangNews Skip to main content

HSR mesti dibiayai swasta, itu prinsip kerajaan - Anthony Loke

Salah satu gambaran artis bagi stesen HSR KL-Singapura. [Foto FB MyHSR]
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 14 Mac - Kerajaan sekali lagi menegaskan pembiayaan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura mesti datang daripada pihak swasta tanpa libatkan peruntukan kerajaan.

 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, itu adalah prinsip yang telah diputuskan Kabinet bahawa HSR mesti diterajui swasta tanpa suntikan dana kerajaan. 

 

"Tetapi adakah sepenuhnya atau ada apa-apa komponen yang melibatkan implikasi kewangan, itu kita kena lihat.

 

"Prinsip kita ialah projek ini mesti diterajui pihak swasta tanpa suntikan modal daripada pihak kerajaan. Itu prinsip yang kita letakkan," katanya pada sesi soal jawab Sidang Dewan Rakyat hari ini.

 

mot
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook (tengah).

 

Menurut Anthony, cadangan projek HSR yang paling baik adalah yang paling meminimumkan implikasi kewangan kepada kerajaan.

 

"Sejauh mana ia boleh dilaksanakan, kita akan lihat kepada kertas cadangan dan kita akan lihat cadangan yang paling baik, yang paling meminimumkan implikasi kewangan kepada kerajaan," tegasnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Tanpa penglibatan kerajaan, HSR KL-Singapura sangat mencabar untuk dilaksanakan - Maybank IB

 

Jelas Anthony, kertas cadangan HSR sedang dinilai dengan pengurusan MyHSR Corp telah memberi laporan awal kepada beliau.

 

Katanya, bagaimanapun Kementerian Pengangkutan belum memuktamadkan lagi penilaian itu.

 

"Apabila dimuktamadkan penilaian itu, kita akan angkat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kabinet untuk kita putuskan hala tuju," jelasnya.

 

hsr

 

Tarikh akhir proses permintaan maklumat (RFI) projek HSR ditutup pertengahan Januari lalu dengan firma Jepun, termasuk East Japan Railway Co, telah memutuskan untuk tidak terlibat.

 

Projek ini dijangka menelan belanja RM100 bilion tetapi kerajaan Malaysia berhasrat mempromosikannya melalui pembiayaan swasta dan bukannya dengan perbelanjaan kerajaan atau melanjutkan jaminan hutang.

 

Walaupun firma Jepun menarik diri, beberapa syarikat tempatan merancang untuk bekerjasama dengan firma China dan Eropah untuk membuat bidaan.

 

Sebanyak tujuh konsortium tempatan dan antarabangsa, merangkumi 31 firma swasta dilaporkan telah mengemukakan cadangan konsep kepada MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp).

 

Selepas RFI, MyHSR akan beralih ke fasa kedua dengan peringkat permintaan untuk cadangan (RFP) bagi mendapatkan cadangan terperinci daripada konsortium terpilih. - DagangNews.com