KUALA LUMPUR 3 Ogos - Malaysia mencatatkan pertumbuhan buat tahun ketiga berturut-turut dalam hutang hijau, sosial dan kemampanan serta berkaitan kemampanan (GSS+) dengan lonjakan 30.5% terbitan pada tahun lalu berbanding 2020, menurut laporan HSBC.
Malah, negara turut merekodkan lebih AS$1 bilion bon berkaitan kemampanan (SLB) dan pinjaman berkaitan kemampanan (SLL) dengan masing-masing lima dan lapan perjanjian pada 2021.
Label kemampanan kekal sebagai instrumen pembiayaan paling menonjol bagi Malaysia, menyumbang kira-kira 51% daripada bahagian pasaran yang terkumpul.
Hutang hijau (bon dan pinjaman) merangkumi 29% daripada pasaran manakala 20% daripada instrumen berkaitan kemampanan.
Pengarah Urusan dan Ketua Kewangan dan Pelaburan Mampan ASEAN HSBC, Kelvin Tan berkata, HSBC telah memainkan peranan penting dalam mempermudahkan pertumbuhan pembangunan mampan di Malaysia sejak kebelakangan ini.
Katanya, pada 2021, HSBC menyokong kerajaan Malaysia dalam penerbitan sukuk kemampanan dalam denominasi dolar Amerika Syarikat (AS) berdaulat pertama di dunia dan Yinson Holdings Bhd. bagi terbitan sukuk berkaitan kemampanan pertama di Malaysia.
"Walaupun pasaran kewangan mampan telah berkembang di negara ini dan rantau ASEAN yang lebih luas, lebih banyak pembiayaan perlu digunakan di rantau ini, untuk menyesuaikan diri dengan perubahan iklim.
"Mobilisasi kewangan ini akan menjadi penting untuk mencapai matlamat Perjanjian Paris di samping mengurangkan kesan buruk perubahan iklim di Asia Tenggara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Secara keseluruhan, laporan HSBC itu mendapati pasaran hutang mampan dalam 6 pasaran ekonomi terbesar ASEAN berkembang pantas pada tahun lalu dengan terbitan hutang hijau, sosial dan kemampanan (GSS) berjumlah AS$24 bilion meningkat 76.5% berbanding AS$13.6 pada 2020.
Pada 2021, hutang berkaitan kemampanan juga meningkat 220% tahun ke tahun kepada AS$27.5 bilion berbanding AS$8.6 bilion pada tahun sebelumnya.
Pertumbuhan itu mencerminkan keghairahan rantau ini untuk memperuntukkan modal bagi tindak balas kepada pandemik COVID-19 dengan mempermudahkan pertumbuhan ekonomi jangka panjang, karbon rendah dan berdaya tahan.
Hutang hijau terdiri daripada bon dan pinjaman hijau kekal paling popular dalam pasaran GSS pada tahun lalu.
Sebanyak 63.9% perjanjian GSS yang dijana dari ASEAN pada 2021 adalah hijau diikuti kemampanan (35.5%), dengan peningkatan 26% berbanding 2020. Sebaliknya, rantau ini menyaksikan terbitan hutang sosial yang sedikit pada 2021 sebanyak 0.6%. - DagangNews.com








