KUALA LUMPUR 14 Julai - Hong Leong Islamic Bank (HLISB) bekerjasama dengan SURI untuk memperkasa ibu tunggal yang berpendapatan rendah dengan peluang memulakan sebuah perniagaan sendiri dan seterusnya memperoleh pendapatan yang mampan.
Susulan pelancaran program pembiayaan sosial HLB Jumpstart – Micro Business pada Oktober lalu, HLISB berkata ia memperluaskan inisiatif Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) dengan kerjasama dengan SURI selaku perusahaan sosial bertumpu kepada pemerkasaan golongan ibu B40 atau kurang berkemampuan dengan peluang kewangan melalui kemahiran penjahitan.
Menurut HLISB, ia membiayai program ini dengan suntikan RM77,600 melalui dana Zakat Wakalah Lembaga Zakat Selangor, yang akan memberi manfaat kepada 20 ibu tunggal dari kumpulan B40 selama tiga bulan, katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Melalui program ini, SURI akan memberi latihan jahitan intensif dan pembangunan produk bertumpu kepada penggunaan bahan kitar semula, di mana peserta akan menghasilkan 1000 unit produk berkualiti tinggi dan kemahiran ini dapat membantu mereka mendapat pekerjaan sambilan atau sepenuh masa.
Selain itu, setiap peserta akan diberikan mesin jahit sekali gus memperkasakan mereka untuk memulakan perniagaan sendiri dan menjana pendapatan yang mampan.
Ketua Pegawai Eksekutif HLISB, Dafinah Ahmed Hilmi menekankan kepentingan memperkasakan usahawan wanita, terutamanya ibu tunggal yang merupakan komuniti terpinggir yang berdepan cabaran menyara keluarga.
“Dengan inflasi dan kos sara hidup semakin meningkat, ibu tunggal berpendapatan rendah merupakan komuniti terpinggir yang menghadapi cabaran dalam usaha menyara keluarga mereka, sama ada membeli makanan, membiayai kos sara hidup am atau menyediakan pendidikan berkualiti bagi anak-anak mereka.
“Perniagaan milik wanita mempunyai potensi yang besar dan mampu menyumbang hampir RM70 bilion kepada KDNK (keluaran dalam negara kasar). Oleh itu, kami berbangga untuk memulakan program ini yang dapat membantu mereka menjana pendapatan tetap dan membina kehidupan lebih baik,” ujar beliau yang melancarkan program itu di SURI Inspirasi pada 12 Julai 2023.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran Hong Leong Bank, Zalman Zainal menambah bahawa bank itu telah menyaksikan impak yang dibawa oleh perusahaan sosial seperti SURI yang telah menyertai Program Jumpstart HLB pada 2019.
“Setakat ini, SURI telah memperkasakan 18 ibu tunggal untuk memulakan perniagaan mereka sendiri dan mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 322% dengan produk kitar semula denim mereka.
“Ini membuktikan perubahan yang boleh dijana apabila kami menggabungkan sumber dengan perusahaan sosial dan menyalurkan sokongan kepada komuniti yang dipinggirkan,” tambahnya.
Selaras dengan misi untuk menggalakkan rangkuman kewangan, HLISB berkata ibu tunggal yang menyertai program ini akan menerima Akaun Semasa dan Simpanan-i. - DagangNews.com








