Hong Leong Bank galak peniaga, komuniti terima pembayaran tanpa tunai melalui program e-Duit Desa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hong Leong Bank galak peniaga, komuniti terima pembayaran tanpa tunai melalui program e-Duit Desa

Alif Satar (kiri) bersama Andrew Jong ketika pelancaran Program e-Duit Desa di Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam, Selangor, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Nov - Hong Leong Bank bersama dutanya yang juga selebriti tempatan, Alif Satar melancarkan Program e-Duit Desa di Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam, Selangor bagi memperkasakan komuniti tempatan dengan menggalakkan pendigitalan dan keterangkuman kewangan, serta memangkin transformasi digital di seluruh rantau ini. 

 

Alif berkata, program tersebut amat penting untuk pembangunan komuniti dan perniagaan tempatan di luar bandar. 

 

Katanya, dengan membolehkan perniagaan tempatan menerima e-pembayaran, ia bukan sahaja menjamin keselamatan urus niaga, tetapi juga memastikan pembayaran dibuat dengan lebih cepat dan mudah. 

 

"Dari sudut keusahawanan, saya sendiri telah menyaksikan bagaimana alat mudah seperti kod QR atau terminal e-pembayaran boleh membantu perniagaan berkembang menerusi kemudahan dan ciri keselamatan yang disediakan.  

 

"Pendigitalan dan pelaksanaan e-pembayaran dapat meningkatkan kecekapan operasi, dan seterusnya dapat meningkatkan jualan serta mengembangkan lagi peluang perniagaan. 

 

"Menerusi semua inisiatif ini, saya yakin bahawa penduduk dan perniagaan di BNO akan mendapat manfaat yang lebih besar daripada program ini, dan saya tidak sabar untuk melihat bagaimana bandar ini akan meraih manfaat daripada inisiatif ini," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Pengarah Urusan Perkhidmatan Kewangan Peribadi HLB, Andrew Jong berkata, program itu mencerminkan dedikasi bank untuk memperkasakan keterangkuman kewangan dan memacu komuniti dengan penggunaan alatan transaksi digital.

 

Katanya, ia adalah bukti komitmen pihaknya untuk berkhidmat dalam komuniti, terutamanya membabitkan usahawan dan perniagaan PKS yang berfungsi sebagai tulang belakang ekonomi negara. 

 

"Dengan memperkenalkan alat pembayaran digital kepada komuniti, kami berharap dapat memperkasakan perniagaan tempatan untuk mengembangkan aliran pendapatan mereka dan memenuhi keperluan lebih ramai pelanggan dengan cepat dan cekap.

 

Menerusi Program e-Duit Desa, HLB memudahkan pembukaan akaun bank dan pengeluaran kad debit untuk komuniti BNO tanpa perlu mengunjungi cawangan bank. 

 

Untuk perniagaan tempatan, bank juga melengkapkan mereka dengan kit permulaan DuitNow, yang membolehkan mereka menerima pembayaran QR tanpa sentuh daripada aplikasi perbankan mudah alih dan eDompet. 

 

Ia juga termasuk Terminal Pembayaran Semua-Dalam-Satu yang menerima pembayaran menerusi kad dan QR. - DagangNews.com