KUALA LUMPUR 11 Mei - Hong Leong Investment Bank Research (HLIB) mengujurkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) lebih lemah untuk suku pertama 2023.
Firma itu berkata, penyederhanaan di seluruh sektor akan menyebabkan pertumbuhan perlahan kepada 5.2% dari tahun ke tahun.
“Kami menjangkakan penyederhanaan dalam sektor pembuatan akibat kelembapan dalam Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) pada suku pertama 2023.
“Pertumbuhan dalam sektor perkhidmatan juga dijangka perlahan, sejajar dengan indeks volum perkhidmatan yang lebih sederhana menunjukkan 8.8% tahun ke tahun pada suku keempat 2022.
"Namun begitu, kami melihat pertumbuhan perkhidmatan disokong oleh peningkatan ketibaan pelancong serta permintaan domestik berikutan Tahun Baharu Cina dan perayaan sebelum Hari Raya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Selain itu, firma itu berkata, penyederhanaan dijangka dalam industri perlombongan kerana pengeluaran perlahan sebanyak 2.1% pada suku keempat 2018 akibat daripada pengeluaran minyak mentah dan gas asli yang lebih lemah.
Katanya, sektor pertanian juga diramalkan berkembang lebih perlahan dengan sebahagiannya adalah hasil daripada pengurangan pengeluaran minyak sawit suku itu, yang terjejas oleh hujan lebat dan banjir Mac lalu.
Penggunaan swasta dijangka terus menjadi pemacu utama pertumbuhan pada kadar yang lebih perlahan, seperti yang ditunjukkan oleh pertumbuhan jualan runcit yang lebih lemah pada suku tersebut sebanyak 14.7% berbanding 19.3% pada suku keempat 2022.
Bagaimanapun, firma itu berkata, akibat kekurangan asas, pertumbuhan ekonomi Malaysia akan terus merosot pada masa hadapan.
"Keadaan kredit global yang lebih ketat, pertumbuhan global yang lebih lemah dan tekanan inflasi juga terus menimbulkan halangan yang ketara kepada aktiviti dan pertumbuhan perdagangan.
"Walaupun jangkaan daya tahan dalam permintaan domestik, kami mengekalkan unjuran kami untuk KDNK mencatat pertumbuhan lebih perlahan sebanyak 4% pada 2023," katanya. - DagangNews.com








