HLIB semak turun TP Kobay Technology kepada RM6.08 dengan saranan 'beli' | DagangNews Skip to main content

HLIB semak turun TP Kobay Technology kepada RM6.08 dengan saranan 'beli'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 24 Mac - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengurangkan harga sasaran Kobay Technology Bhd. kepada RM6.08 daripada RM7.88 sebelum ini dengan mengekalkan saranan 'beli'. 

 

Firma itu turut menyemak semula unjuran hasil Kobay Technology berdasarkan kepada skop kerja bagi pelayan data termaju. 

 

"Ia menyaksikan pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2022 (FY22), FY23 dan FY24 dinaikkan masing-masing sebanyak 10%,32% dan 20%," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Kobay telah memulakan penyumberan hujung ke hujung bagi projek pelayan data termaju sejak tahun lalu dengan skop kerja tunggal bagi pemasangan tahap tinggi (HLA) yang menyasarkan pengeluaran 60,000 setiap bulan. 

 

Walaupun, pesanan yang diterima adalah 40,000 unit lebih rendah sebulan, tetapi harga purata jualan (ASP) bagi jumlah penyelesaian adalah 4 kali lebih tinggi dengan ganjaran margin.

 

Pada masa sama, menurut HLIB, Kobay juga menyasarkan untuk memulakan pengeluaran projek rangka solar volum tinggi di loji seluas 15 ekar yang baru diperoleh bermula suku keempat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (4QFY22).

 

Katanya, terdapat sedikit kelewatan sedikit daripada sasaran awal yang disebabkan kelewatan naik taraf pencawang kuasa. 

 

"Kenaikan harga bahan mentah tidak akan menjejaskan Kobay kerana kos dilepaskan sepenuhnya kepada pelanggan.

 

"Dengan harga minyak yang kekal pada paras tinggi, permintaan global untuk tenaga boleh diperbaharui akan menjadi lebih besar pada masa hadapan dan Kobay akan menjadi penerima manfaat tidak langsung," katanya.

 

Firma itu juga mendapati pengumuman Pelanggan I mengenai pelaburan berbilion di Pulau Pinang untuk mengembangkan kemudahan sedia ada adalah satu rahmat, dan berpotensi meningkatkan Kobay ke tahap seterusnya.

 

Selain itu, pembangunan hartanah dijangka memberi lebih sumbangan kepada hasil Kobay memandangkan persekitaran ekonomi yang kembali normal. 

 

"Pemerolehan Avelon Group (70% kepentingan) pada Ogos 2021 akan terus menyumbang secara positif sejajar dengan jaminan keuntungan 3 tahun sebanyak RM25.5 juta," tambahnya.

 

Setakat 11.29 pagi ini, harga saham Kobay susut 5 sen atau 1.12% kepada RM4.40 dengan 17.21 juta saham diniagakan. - DagangNews.com