KUALA LUMPUR 15 Julai - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menyemak turun penarafan sektor pembuatan elektronik kepada 'neutral' kesan daripada bacaan makro yang lebih lemah daripada Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI).
Firma itu dalam satu nota kajian berkata, selain bacaan IPI, indeks pengurusan pembelian (PMI) bagi sektor pembuatan juga menunjukkan perkembangan eksport yang perlahan ke Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).
Katanya, keadaan itu diburukkan lagi dengan penguncupan dalam perbelanjaan pengguna AS dan sekali gus memberikan petunjuk kepada kelembapan bagi sektor pengeluar elektronik.
Bagaimanapun, firma itu kekal optimis bahawa trend penyumberan luar akan berterusan dan peperangan perdagangan akan terus memberi manfaat kepada sektor pembuatan di Malaysia.
"Walaupun berdepan masalah gangguan rantaian bekalan yang berpanjangan dan masalah kekurangan tenaga kerja, kami tetap berhati-hati terhadap kebimbangan yang semakin lemah akibat kegusaran orang ramai terhadap kemungkinan berlakunya kemelesetan ekonomi.
"Selepas mengambil kira semua faktor, kami menyemak turun penarafan kami daripada 'overweight' kepada 'neutral'.
"Pilihan kami untuk sektor ini adalah V.S. Industry Berhad dengan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) RM1.14," katanya. - DagangNews.com








