KUALA LUMPUR 16 Nov - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan syarikat perladangan di bawah liputannya akan merekodkan prestasi kewangan suku ketiga yang lebih lemah ekoran harga minyak sawit yang lebih rendah.
Penganalisisnya, Chye Wen Fei berkata, harga lebih rendah itu akan mengheret turun hasil segmen huluan bagi suku ke suku memandangkan pengeluaran buah tandan segar yang tinggi diimbangi harga produk minyak rendah yang jauh lebih rendah.
Selain itu, katanya, ia turut dipengaruhi kos pengeluaran yang lebih tinggi terutamanya disebabkan impak daripada kenaikan gaji minimum dan harga baja.
"Syarikat perladangan yang mempunyai pendedahan tinggi terhadap operasi huluan di Indonesia berkemungkinan akan mencatat prestasi lebih baik berbanding syarikat yang mempunyai pendedahan tinggi di Malaysia.
"Ini memandangkan perubahan dalam struktur levi eksport dan kemungkinan pengeluaran buah tandan segar lebih tinggi.
"Bagi pemain bersepadu, harga bahan mentah yang tidak menentu, ditambah dengan kos pengangkutan yang tinggi berkemungkinan akan menghalang keuntungan di segmen hiliran," katanya dalam nota kajian hari ini.
Namun, firma itu mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor perladangan dengan pilihan utamanya ialah Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK) dan IOI Corp. Bhd.
Kedua-dua syarikat perladangan itu diberi saranan 'beli' dengan harga sasaran masing-masing pada RM26.80 dan RM4.65 sesaham.
Bagi 2022, Wen Fei mengekalkan unjuran harga minyak sawit mentah sekitar RM5,050 satu tan metrik diikuti RM4,000 dan RM3,800 masing-masing bagi 2023 dan 2024.
Menurutnya, harga minyak sawit dijangka berlegar melebihi paras RM4,000 satu tan metrik beberapa bulan akan datang sehingga suku pertama 2023 sebelum kembali perlahan mulai suku kedua dan seterusnya.
"Penurunan ini disebabkan bekalan minyak sayuran yang lebih baik (didorong masalah kekurangan buruh yang semakin berkurangan di Malaysia dan tiada masalah cuaca), risiko kemelesetan global yang semakin meningkat dan penambahan inventori bagi negara pengimport utama minyak sawit," jelasnya. - DagangNews.com








