HLIB mulakan liputan terhadap Ancom Nylex dengan saranan 'beli', optimis dengan prospek bagi FY23-FY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HLIB mulakan liputan terhadap Ancom Nylex dengan saranan 'beli', optimis dengan prospek bagi FY23-FY25

KUALA LUMPUR 14 Feb - Hong Leong Investment Bhd (HLIB) Research memulakan liputan terhadap Ancom Nylex Bhd dengan memberi saranan ‘beli’ pada harga sasaran (TP) RM1.73 sesaham.

 

HLIB Research berkata, kumpulan itu berperanan penting dalam keterjaminan makanan global dengan rekod prestasi lebih daripada 50 tahun.

 

Firma penyelidikan itu menganggap Ancom Nylex sebagai syarikat gergasi bahan kimia pertanian yang semakin berkembang namun berada di bawah nilai.

 

“Selepas laporan awal kami yang tidak dinilai pada 6 Oktober 2022, harga saham telah menunjukkan prestasi yang baik sebanyak kira-kira 30%,” kata firma itu di dalam nota penyelidikannya hari ini.

 

Tambahnya lagi, saranan beli pada TP RM1.73 adalah berdasarkan sasaran konservatif harga perolehan (P/E) sebanyak 17 kali pada diskaun kira-kira 25% kepada purata P/E gandaan 23 kali dengan syarikat yang setara dengan Ancom Nylex.

 

“Ancom meraih rekod keuntungan bersih teras tinggi sebanyak RM62.6 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Mei 2022 (FY22).

 

HLIB mengunjurkan keuntungan bersih kumpulan untuk terus berkembang sebanyak 22%, 45% dan 18% masing-masing bagi FY23, FY24 dan FY25, mewakili kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 28%.

 

Setakat 12.05 tengah hari ini, harga saham Ancom Nylex kekal tidak berubah pada RM1.24 sesaham. – DagangNews.com