HLIB jangka hartanah perindustrian jadi tumpuan Axis REIT, pacu hasil bagi FY22 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HLIB jangka hartanah perindustrian jadi tumpuan Axis REIT, pacu hasil bagi FY22

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 29 Mac - Langkah pengambilalihan Axis Real Estate Investment Trust (Axis REIT) terhadap aset yang memberi hasil menarik dilihat akan memacu hasil bagi tahun kewangan 2022 (FY22), menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.

 

Sepanjang tahun lalu, ia telah mengambil alih 5 aset hartanah dan melaksanakan 2 pemerolehan bagi tahun ini. 

 

Penganalisisnya, Farah Diyana Kamaludin berkata, dengan sasaran pemerolehan RM400 juta bagi FY22, Axis REIT akan memberi fokus kepada hartanah perindustrian, di samping menerapkan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam operasinya.

 

Katanya, kebanyakan aset tersebut tertumpu kepada kemudahan pembuatan dan logistik Gred A dengan tempoh pajakan yang panjang daripada penyewa dan memiliki perjanjian yang kukuh serta gudang yang terletak di lokasi sesuai untuk pengagihan jarak jauh.

 

"Sejak akhir-akhir ini, strategi pemerolehan Axis REIT memberi fokus kepada hartanah jenis perindustrian, malah, pengambilalihan yang dicapai pada tahun lalu juga kesemuanya membabitkan perindustrian/pejabat, kemudahan pembuatan dan gudang logistik. 

 

"Kawasan yang menjadi tumpuannya juga terletak di kawasan utama Semenanjung Malaysia (setakat FY21 - Johor : 29%, diikuti Shah Alam :22% dan Petaling Jaya : 17%). 

 

"Kawasan-kawasan ini menikmati pertumbuhan sewa yang baik pada suku tahun lalu dan dijangka meneruskan momentumnya berikutan permintaan yang kukuh," jelasnya dalam nota kajian hari ini.

 

Setakat awal tahun ini, Axis REIT mengambil alih iPark Kulai Johor (siap pada 8 Mac) yang menandakan hartanah kesembilan bagi taman perindustrian. Selain itu, ia turut mengambil alih aset di Pasir Gudang, Johor.

 

Di sebalik pandemik COVID-19 pada tahun lalu, kumpulan mempamerkan kadar penghunian yang lebih baik meningkat kepada 96% berbanding 91% tahun sebelumnya.  

 

Ini disebabkan pemerolehan penyewaan baharu yang dijamin dan pemerolehan hartanah dimuktamadkan dengan sebahagian besar hartanahnya adalah hak milik industri (92%) di mana ia lazimnya 100% hartanah penyewaan tunggal.

 

Dari segi ESG pula, Farah Diyana berkata, Axis REIT akan mengkaji inisiatif kitar semula dan menggunakan semula bahan binaan untuk projek pembangunan brownfield.

 

"Ini berpotensi mengurangkan banyak sisa pembinaan yang dihasilkan semasa fasa pembinaan, seterusnya meminimumkan kesan sisa Axis REIT," katanya.

 

Mengambil kira semua faktor ini, HLIB mengekalkan saranan 'beli' terhadap Axis REIT tetapi harga sasaran (TP) dikurangkan kepada RM2.10 daripada RM2.32 sebelum ini. 

 

Pelarasan TP itu berdasarkan kepada agihan per unit bagi FY23 dengan sasaran hasil 4.6%.

 

"Kami juga mengemas kini model kewangan kami dengan angka laporan tahunan dan memasukkan sumbangan daripada pemerolehan aset baharu.

 

"Ia menyaksikan keuntungan FY22-FY23 meningkat sebanyak 1% hingga 2% tetapi disebabkan langkah penempatannya, pendapatan sesaham bagi FY22-23 dikurangkan sebanyak 7%," katanya. - DagangNews.com