Hibiscus Petroleum perlu lebih banyak masa selesaikan pertikaian dengan Sabah, HLIB turunkan TP kepada RM1.54 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hibiscus Petroleum perlu lebih banyak masa selesaikan pertikaian dengan Sabah, HLIB turunkan TP kepada RM1.54

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Julai - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menyemak turun harga sasaran (TP) Hibiscus Petroleum Bhd. kepada RM1.54 daripada RM1.73 sebelum ini ekoran pertikaian cukai antara syarikat minyak dan gas itu dengan kerajaan negeri Sabah. 

 

Pada Selasa lalu, media melaporkan kerajaan negeri menuntut bayaran sebanyak RM97.31 juta terdiri daripada RM66 juta cukai jualan dan RM31.31 juta penalti yang dikenakan untuk pembayaran lewat bagi menyelesaikan perselisihan faham antara kedua-dua pihak.

 

Sabah akan membatalkan permit kerja untuk dua unit minyak Hibiscus Petroleum yang beroperasi di negeri itu jika mereka tidak menjelaskan cukai dan penalti yang terhutang pada tarikh akhir yang ditetapkan.

 

Dalam laporan itu, Menteri Kewangan Negeri II Datuk Masidi Manjun berkata, notis tindakan telah dikeluarkan kepada Repsol Oil & Gas Ltd dan SEA Hibiscus Sdn Bhd, yang kedua-duanya dimiliki sepenuhnya oleh Hibiscus Petroleum, pada 8 Julai selepas tempoh tangguh selama seminggu untuk menjelaskan tunggakan.

 

Baca : Sabah akan batalkan permit kerja Hibiscus Petroleum jika gagal bayar cukai, penalti RM97.31 juta pada 1 Oktober 2022

 

Menurut HLIB, perkembangan tersebut berlaku disebabkan beberapa perkara iaitu Hibiscus Petroleum tidak membayar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi aset Sabah Utaranya sejak pelaksanaan cukai pada April 2020 dan baru-baru ini pada 8 Jun 2022.

 

Malah, katanya, kumpulan turut mengumumkan secara terbuka bahawa aset FIPC Kinabalu yang baru dimilikinya tidak akan terus membayar SST.

 

"Selepas taklimat (dengan kumpulan), kami berpendapat bahawa keseluruhan pertikaian yang berlaku ini memerlukan lebih banyak masa untuk diselesaikan dan tidak dapat disimpulkan buat masa ini, sementara menunggu rundingan selanjutnya dengan kerajaan negeri Sabah," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Mengenai pembatalan permit kerja, firma itu berkata, kumpulan menjangkakan gangguan operasi akan berlaku, tetapi rancangan kontingensi telah disediakan.

 

Berdasarkan pemahamannya, permit kerja hanya memberi kesan kepada pekerja bukan Sabah dan pada masa ini, 24% daripada jumlah tenaga kerjanya adalah penduduk di negeri tersebut.

 

"Oleh itu, walaupun dalam senario terburuk, tidak akan ada penutupan sepenuhnya operasi dengan andaian permit kerja tidak diperbaharui.

 

"Namun, kumpulan menjangkakan perbelanjaan modal dan perancangan penyelenggaraan akan ditangguhkan jika masalah ini berterusan dalam jangka panjang," jelasnya.

 

Bagaimanapun, secara keseluruhan, HLIB mengekalkan saranan 'beli' terhadap Hibiscus Petroleum.

 

Menerusi makluman di Bursa Malaysia pada Selasa juga, Hibiscus Petroleum menyatakan pihaknya komited untuk menyelesaikan perselisihan faham berhubung tuntutan cukai yang perlu dibayar dengan pihak berkuasa Sabah secara baik dan kolaboratif bagi meminimumkan gangguan kepada operasi.

 

Setakat 9.14 pagi ini, harga saham Hibiscus Petroleum menokok 1.5 sen atau 1.82% kepada 84 sen dengan 3.13 juta saham diniagakan. - DagangNews.com