HeiTech Padu, MyEG memeterai perjanjian pemasaran, perkhidmatan teknologi maklumat | DagangNews Skip to main content

HeiTech Padu, MyEG memeterai perjanjian pemasaran, perkhidmatan teknologi maklumat

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 16 April - HeiTech Padu Bhd memeterai perjanjian dengan MyEG Services Bhd untuk membentuk kerjasama interim bagi meneroka perkhidmatan berkaitan industri teknologi maklumat (IT) di Malaysia.

 

Menurut HeiTech Padu, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam aktiviti pemasaran, perkongsian pengetahuan berkaitan dan integasi sistem penyelesaian IT untuk projek yang dikenal pasti kepada bakal pelanggan.

 

HeiTech Padu dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia berkata, perjanjian itu sah selama setahun dari tarikh ia ditandatangani melainkan dan sehingga digantikan dengan perjanjian berikutnya yang dibuat oleh kedua-dua pihak, yang mana lebih awal.

 

Syarikat itu menambah bahawa mana-mana pihak boleh menarik diri daripada perjanjian pada bila-bila masa dengan memberikan notis bertulis selama 30 hari.

 

Perjanjian tersebut ditandatangani pada Isnin, 15 April 2024.

 

ARTIKEL BERKAITAN: HeiTech Padu terima kontrak RM190 juta daripada JPJ selenggara infrastruktur ICT, sistem mySIKAP

 

"Perjanjian ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan Syarikat apabila pelaksanaannya telah menjadi kenyataan sepenuhnya," kata Heitech Padu hari ini.

 

Sementara itu dalam pemfailan berasingan kepada bursa, MyEG Services berkata, syarikat itu tidak melihat sebarang risiko luar biasa daripada perjanjian itu selain daripada risiko operasi/perniagaan yang berkaitan dengannya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: MyEG peroleh 14.4% kepentingan dalam HeiTech Padu pada harga RM31.25 juta

 

Pada 11 Mac lalu, MyEG Services memperoleh 14.4% kepentingan dalam HeiTech Padu dengan harga RM31.25 juta sebagai sebahagian daripada pelaburan strategiknya.

 

Penyedia e-perkhidmatan itu berkata, unitnya, MyEG Capital Sdn Bhd memperoleh pegangan 14.57 juta saham melalui pasaran terbuka dan urus niaga perniagaan langsung.

 

Pada pukul 11.15 pagi, harga saham MyEG turun 0.64 peratus kepada 77.5 sen sesaham, manakala harga saham HeiTech Padu kekal pada RM2.43 sesaham.- DagangNews.com