KUALA LUMPUR 23 Feb - Untung bersih Axiata Group Bhd. bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) meningkat kepada RM9.77 bilion daripada RM818.90 juta bagi tempoh sama sebelumnya didorong peningkatan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) dan keuntungan bersih sekali daripada penggabungan Celcom-Digi.
Ini menyaksikan pendapatan kumpulan melonjak kepada RM21.73 bilion bagi tempoh itu daripada RM19.99 bilion yang direkodkan bagi tempoh sama tahun kewangan 2021, menurutnya dalam kenyataan di Bursa Malaysia hari ini.
Pada tempoh itu, EBITDA kumpulan turut meningkat 7.8% tahun ke tahun kepada RM9.6 bilion dengan pertumbuhan merentasi kesemua syarikat yang beroperasi, kecuali operasi mudah alih di Sri Lanka dan Nepal.
Dalam FY22, Axiata terus mencatat kecemerlangan kos dengan mencapai penjimatan perbelanjaan modal sebanyak RM1.07 bilion.
Selain itu, pengiktirafan pendapatan Celcom bagi tempoh 11 bulan menyaksikan hasil bukan peranti berkurangan sebanyak 3.7% kepada RM5.7 bilion (atas dasar sama rata, pendapatan bukan peranti meningkat 5.7%).
Pengurusan kos yang berterusan dan ketiadaan susut nilai 3G yang dipercepat, bagaimanapun mencerminkan pertumbuhan EBITDA yang positif sebanyak 9.2%.
Bagi tempoh suku keempat berakhir pada 31 Disember 2022, kumpulan itu mencatat keuntungan bersih sebanyak RM9.97 bilion daripada RM116.02 juta, disumbangkan oleh baki pulangan penggabungan Celcom-Digi, peningkatan pulangan hasil pertukaran asing dan cukai lebih rendah yang diimbangi oleh susut nilai dan pelunasan dan kos kewangan.
Sementara itu, pendapatan meningkat 9.3% kepada RM5.83 bilion daripada RM5.34 bilion sebelum ini.
Pengerusi Axiata Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata, kekuatan Kumpulan dalam pelaksanaan dan daya tahan yang berterusan, ketangkasan dan kepantasan dalam menangani cabaran sepanjang tahun lalu dapat dilihat dalam prestasi FY22 yang mantap.
"Dengan selesainya langkah pengambilalihan dan penggabungan (M&A) kami pada 2022, Axiata berada di landasan yang betul untuk mengukuhkan kedudukan penerajunya dalam perniagaan telekomunikasi dan infrastruktur digital di seluruh jejak serantau kami," katanya.
Menurut beliau, bagi 2023, lembaga pengarah terus menekankan daya tahan operasi, dan asas perniagaan yang kukuh selain mempercepatkan langkah ke arah mencapai status TechCo. -DagangNews.com








