KUALA LUMPUR 16 Mei - Pertumbuhan pengeluaran buah tandan segar (BTS) Kim Loong Resources Bhd dijangka sihat pada tahun kewangan berakhir Januari 2024 (FY24), menurut AmInvesment Bank Research (Aminvestment).
Firma penyelidikan itu berkata kumpulan itu tidak menghadapi kekurangan pekerja di estetnya di Johor dan Sabah.
Walaupun terdapat kekurangan buruh sebanyak 10% hingga 20% di Sarawak, ia tidak memberi kesan kepada pengeluaran BTS kumpulan.
“Kami telah mengandaikan pertumbuhan keluaran BTS sebanyak 10% pada FY24 yang dijangka didorong oleh peningkatan dalam kawasan matang,” katanya dalam nota hari ini.
Firma itu meningkatkan keuntungan bersih Kim Loong bagi FY24 sebanyak 4% untuk mengambil kira pertumbuhan pengeluaran BTS yang lebih kukuh pada 10% berbanding 6% sebelumnya.
Selain itu, kos pengeluaran keseluruhan dijangka RM2,000 setiap tan pada FY24 berbanding RM2,150 setiap tan dalam FY23.
Menurut firma tersebut, jumlah pengeluaran yang lebih tinggi dan kos baja yang lebih rendah dijangka membawa kepada penurunan kos pengeluaran setiap tan pada FY24.
Sementara itu, loji biogas 2MW kumpulan di Keningau dijangka akan beroperasi tidak lama lagi, manakala loji biogas 1.5MW di Telupid dijangka memulakan operasi komersial pada Jun.
“Selepas mula beroperasi, Kim Loong akan mempunyai tiga loji biogas secara keseluruhan yang akan menjana keuntungan bersih tahunan RM7 juta hingga RM9 juta. Ini menyumbang 8 hingga 10% daripada keuntungan bersih kumpulan pada FY25,” tambahnya.
AmInvestment mengekalkan saranan ‘pegang’ nilai saksama (FV) dinaikkan kepada RM1.70 sesaham daripada RM1.65 sebelumnya. -DagangNews.com








