Harga kawalan gula dijangka dinaikkan ikut pasaran sejajar program subsidi bersasar - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Harga kawalan gula dijangka dinaikkan ikut pasaran sejajar program subsidi bersasar - MIDF Research

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 3 April - Harga maksimum gula yang ketika ini dikawal pada RM2.85 sekilo dijangka diapungkan mengikut harga pasaran secara berperingkat apabila program subsidi bersasar mula dilaksanakan kerajaan sekitar separuh kedua 2024 (2HCY24).

 

Menurut MIDF Research, menerusi Pengkalan Data Utama (PADU), kerajaan boleh menyelaraskan bantuan kepada penerima yang layak dan pada masa yang sama menstruktur semula harga siling gula yang sangat rendah ketika ini supaya sejajar dengan harga pasaran.

 

"Secara munasabah, gula pasir kasar Malaysia mempunyai harga yang murah berbanding negara jiran seperti Singapura (RM6.11-RM6.79/kg), Kalimantan (RM4.50/kg), Sumatera (RM4.20-RM4.50/kg) dan Selatan Filipina (RM8.50–RM9.50/kg).

 

"Harga siling gula kita tidak pernah melebihi RM2.85 sekilogram untuk gula pasir kasar dan RM2.95 sekilogram untuk gula pasir halus.

 

"Berdasarkan kajian kami, harga runcit gula hanya meningkat 1 sen sepanjang dekad yang lalu, daripada RM2.84/kg pada 2013 kepada semasa RM2.85/kg," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Jelas MIDF Research, bagaimanapun disebabkan cabaran kewangan yang berpunca daripada kos input utamanya iaitu gula NY11, MSM Malaysia Holdings Berhad telah menerima sokongan kerajaan sejak November 2023 untuk memastikan kestabilan operasi yang berterusan. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Harga gula Malaysia perlu ikut perkembangan harga global

 

GULA
Harga gula pasir kasar dikawal pada RM2.85 sekilo manakala gula pasir halus RM2.85 sekilo. Gambar MSM

 

Katanya, sokongan tersebut dalam bentuk insentif yang berjumlah RM1,000 bagi setiap tan metrik dengan sebagai balasan, MSM bertanggungjawab membekalkan 24,000 tan metrik gula ke pasaran tempatan secara bulanan. 

 

"Walaupun kami menjangkakan insentif itu tidak akan berpanjangan memandangkan fiskal dan subsidi, kami menjangkakan normalisasi harga siling gula akan berlaku secara berperingkat. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: MSM cadang harga jualan gula dinaikkan RM1 kepada RM3.85 sekilogram

 

"Berdasarkan analisis sensitiviti kami, kenaikan 10 sen harga gula pada FY25 akan meningkatkan pendapatan MSM kepada RM304 juta (+16%yoy), atau RM25.4j (+16%yoy) secara bulanan," jelasnya.

 

kpdn
Kajian MIDF Research mendapati harga runcit gula pasir kasar hanya meningkat 1 sen sepanjang dekad yang lalu, daripada RM2.84/kg pada 2013 kepada semasa RM2.85/kg. - Gambar KPDN

 

Tambah firma penyelidikan itu, insentif RM1,000 setiap tan oleh kerajaan telah menyaksikan harga saham MSM terutamanya dalam aliran menaik bermula pada November 2023.


 
Katanya, harga saham MSM melonjak melebihi RM2 dalam masa kurang daripada dua bulan, iaitu yang tertinggi sejak Disember 2018.

 

MIDF Research dalam pada itu mengekalkan saranan 'Beli' dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM4.48 sesaham daripada RM3.43 sesaham.- DagangNews.com